Wednesday, September 17, 2008

Rindu

Syawal makin menghampiri dan pastinya tidak lama lagi aku pasti merinduimu Ramadhan!

Wednesday, September 10, 2008

Aku dan Komuter

Bulan Ramadhan Al-Mubarak sebenarnya banyak membawa godaan kepadaku terutama sekali mengenai kesabaran. Sejak harga minyak naik kenderaan utama aku untuk ke pejabat adalah komuter dan LRT. Kesabaran banyak teruji di sini. Seingat aku hampir setahun aku menggunakan pengangkutan awam.

Pengangkutan Awam...ermmm...bagi aku tak efisen di negara ini terutama komuter. Sudah banyak sekali pengalaman aku dengan kelewatan komuter ini. bila lewat maknanya komuter terpaksa mengangkut 'trip' yang tertinggal kerana kelewatan. Jadi boleh kita bayangkan tren yang penuh dengan umat manusia apatah lagi ketika waktu beban puncak ketika pagi untuk ke pejabat dan petang untuk balik ke rumah. Nasib baik aku pernah dan mempunyai pengalaman dengan bas mini wilayah suatu ketika dahulu. Aku tak dapat bayangkan manusia bersesak-sesak terutama kanak-kanak dan warga emas. Kasihan.

Komuter waktu perjalanan sekarang 20 minit sekali. Bayangkan kalau lewat sejam? Berapa banyak umat manusia yang tiba dan terpaksa mengangkut 3 'trip'? Kadan-kadang kalau difikirkan sudah menjadi perkara biasa untuk komuter tiba lewat. Kalau lewat seperti tiada tindakan kepada perkara yang melewatkan perjalanan komuter tersebut. Kalau rosak komuter kenapa tidak diganti dengan tren yang lain? Entah aku tidak pasti. Kalau di negara maju nescaya mereka yang bertanggungjawab kelewatan sesuatu perjalanan pengangkutan awam mungkin dipecat malah CEOnya akan bertanggungjawab kerana kejadian seperti itu. Entahlah aku makin tidak faham...

Alangkah baiknya sekiranya gerabak komuter itu ditambah dari 3 ke 5 dan perjalanannya selang 10 minit ketika beban puncak dan pada waktu bukan beban puncak kembali kepada 20 minit. Tambah-tambah ketika umat islam berduyun-duyun untuk pulang daripada pejabat untuk berbuka puasa bersama keluarga. Sekadar cadangan sahaja...

Thursday, September 04, 2008

Harapanku...

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

Wednesday, August 13, 2008

Manusia Bernama Firdaus

Ketika aku sedang melepak di sebuah restoran di Kuala Lumpur semasa makan tengah hari bersama-sama rakan sepejabat. tiba-tiba datang seorang manusia yang tidak dikenali ke meja kami dan terus duduk. Aku agak terkejut tapi macam biasa buat bodo. Anggap tiada apa-apa yang berlaku.

"Salam..." katanya sambil menhulur tangan kepada Joe. Joe terpingga-pingga. Dia tidak menyambut tangan manusia itu. Bau arak kuat menusuk hidung. "Saya orang muslim, kawan-kawan saya orang muslim tak kan tak mahu salam?"Katanya yang pekat telor India.

Aku merenung manusia itu. rakan-rakan lain mula hilang mood untuk bersembang. Aku lihat Joe teragak-agak bersalam.

"Nama saya Firdaus... Orang muslim nak minta tolong bagi lima ringgit nak balik Kelang...Duit tadak.." Katanya. Joe terkedu. Aku dan kawan-kawan lain buat tak tahu. Si Din buat-buat nak ambil nasi. Haram kau Din terus blah tinggal kami! Bau arak membuatkan aku tidak selesa.

Aku amati manusia yang katanya nama Firdaus. Pakaian selekeh, Kaki tempang dengan bertongkat. Joe buat tidak layan. kami juga begitu. Keheningan mula terasa. Tiba-tiba Alex budak Sarawak bersuara.

"You nak mintak derma ye...mana surat?" Ada nada tegas dari Alex.

"Tak payah pakai surat la... orang islam bersaudara mesti kena tolong orang islam..."Kata Manusia itu dalam nada marah.

"Abes itu kalau tak bagi macam mana? You dah kacau kami tau..." Alex berkeras.

"Kalau tak percaya angkat kereta hantar saya pegi Kelang la...bagi tujuh ringgit la..." Kata manusia itu mula marah. Aku terhambur ketawa, semua mata lain memandang ke arah aku. mana tidaknya, minta duit lima ringgit tambang ke Kelang lepas itu bila tak bagi mintak hantar dah itu kena bagi tujuh ringit pula.

"Sudah...sudah..." Aku mula bersuara. " Awak aka awak islam kan? Cuba mengucap? Baca Syahadah?" Kata aku kepada manusia itu. Dia terdiam. Sah dia tak tahu atau bukan Islam.

"Bukan tak tau la...tapi apa itu ayat saya dah lupa..." Jawab manusia itu tergagap.

"Sudah...awak nampak tak pas saya ini..." Kata aku padanya. Dia mengangguk. "Tahu dia tulis apa atau saya nak baca!" Aku menunjukkan pas jabatan aku. "Sebelum apa-apa baik awak keluar...kalau tidak ada yang tidur lokap malam ni!" Terkocoh-kocoh manusia itu bangun dan keluar daripada restoran itu. Diluar aku dengan dia membebel dalam bahasa tamil.

"Berani kau Zam tunjuk pas jabatan kat dia?" Din yang tadi bangun datang kembali ke meja kami tadi.

"Ala dia bukan tahu baca...mesti di ingat aku polis..." Berderai ketawa kami. "Din...abang kau tadi pesan kat kau...cepat-cepat bayar hutang...dia nak pegi tunggang dah tidak ada duit..." Berderai lagi ketawa kami.

"Sial kau Zam!" Ada penumbuk separa kuat singgah di lengan aku.

Siapa tidak kenal manusia itu, kerana sering kali terjumpa mabuk tidak kira malam dan siang. Dan menagih simpati orang ramai meminta duit untuk membolehkan dia melepaskan gian membeli arak. Manusia-manusia.

"Eh aku ingatkan tadi dia datang nak mengadu.." Kata Alex.

"Mengadu apa? "Tanya Din.

"Mengadu yang dia tengah mencari bakal menantu lelaki.." kata Alex lagi.

"Ye betul...dan aku mintak engkau la Din jadi menantu dia sebab kau tak kawen lagi..." Sesi pecah perut bermula lagi.

"Sial korang!" Din tersengih-sengih.

Tuesday, August 12, 2008

Setanggi Ranjang Malam

lembah ini laluan matahari malam
lembah ini khayalan yang memilukan
ku bisa jadi lelayang
merakam kehidupan
antara mimpi indah
limpahan berdarah
berputar..

apa yang ada di sana hanya lah coretan
kisah suka duka dunia tanpa kesudahannya
selaut air mawar
sejukkan rakus petanda
terkabul doa
mereka dari anak- anak syurga
bersyukur

tanpa peduli apa saja yang mendatang
cinta dan tangis masih tetap bergandingan
bawa mimpi bersama semangat paling agung
moga tidurmu di ulit setanggi ranjang malam...
di ranjang kebenaran..

lembah ini sempadan hati dan fikiran
lembah antara khayalan dan kenyataaan
suburlah bumi tuhan
semoga aku dapat menumpang teduh diranting
hijaumu..


lagu: Setanggi Ranjang malam (search) album sesudah banjir




lama sudah tidak meng úp date'kan blog ini.

aku cukup minat lagu ini kerana bait-baitnya penuh dengan puitis!

Friday, January 18, 2008

Kalaulah Isteriku Tahu...

Agak lama juga aku tidak kemas kini blog ini. Satu alasan yang selalu aku berikan; kerana aku sibuk. Yang pertamanya dengan tugasan dan yang keduanya aku terlalu sibuk bercuti. Hampir sebulan cuti aku diluluskan. Tapi entah kenapa tiba-tiba aku teringat kisah ngeri sebelum aku bercuti.

Kejadian itu seminggu sebelum aku bercuti. Aku tidak nafikan, aku mempunyai ramai kenalan perempuan. Kenalan sekerja, tugas, kawan-kawan sekelas di ’U’ atau zaman sekolah. Isteri aku cukup memahami aku. Dia percaya dengan aku. Kerana selama ini aku tidak pernah menduakan dia. Cuma peristiwa itu membuatkan aku takut dan ngeri kalau isteri aku tahu.

Ratna Izzura. Gadis yang cukup cantik, masih belum berpunya, muda dan baru 5 tahun dalam perkhidmatan kerajaan. Berpangkat pegawai di sebuah Kementerian di Putrajaya. Aku mengenalinya ketika aku menghadiri satu mesyuarat di Putrajaya. Mungkin kerana program yang kami kendalikan, dia menjadi rapat dengan aku. Aku tidak pernah ambil pusing kerana aku tahu batas perhubungan kami. Malah aku anggap dia seperti adik sahaja. Bila ada mesyuarat di Putrajaya lazimnya aku akan bersamanya untuk makan tengah hari. Malah isteri aku tahu persahabatan kami.

Sehinggalah kejadian itu, semasa kami menghadiri kursus di sebuah hotel di Port Dickson. Setiap malam semasa kursus aku, dia dan rakan sekursus akan
keluar minum-minum di kedai makan, dan pada malam terakhir dia mengajak aku keluar bersamanya. Aku agak pelik kerana hanya aku dan dia sahaja. Mungkin kawan-kawan lain malas hendak keluar, fikir aku.

Kami kemudian menjamu selera di sebuah kedai makan ala petani di port Dickson. Selepas itu dia terus memandu menghala ke pantai Teluk Kemang. Sebenarnya aku menumpang kereta dia. Aku hairan kerana jam menunjukkan sudah pukul 1.30 pagi. Tidak mengantukkah dia? Aku mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Kereta diberhentikan betul-betul menghadap pantai dan suasana tempat letak kereta agak gelap.

” Kenapa kita ke sini Zura?” Aku bertanya. Yelah buat dicekup mampus aku.

” Zura nak bincang sikit dengan abang..” Waduh lembut sungguh suara dia. Aku mula tidak selesa.

“ Jom kita balik…karang buat kena cekup naya kita,,,” Aku mengajak dia balik.

” Ala kalau kena cukup pun best apa...tentu abang seronok...dapat kawin free..” Ada ketawa kecil diakhir ayat itu. Buang tebiat ke budak ni? Aku mula tidak keruan. Tiba-tiba dia memegang tanya aku. Aku terkejut! Terus aku tarik tangan aku. Dia juga aku lihat terkejut. ” Nape? Abang tak suka kat Zura ke?” Ada nada kesal kedengaran. Suka Zura? siapa tak suka Zura, Zura cantik, manis, anggun..Cuma dalam hati aku saja yang jawab. Aku diam. ” Selama ini, apa sebenarnya hubungan kita abang?” Tanya Zura pada aku untuk kepastian.

” Ermmm....” Lama juga aku terkedu. ” Abang anggap Zura macam adik abang..” Kadang-kadang rasa menyesal jugak aku jawab sebegitu.

” Tidak lebih dari itu?” Dia minta penjelasan. Aku hanya menganggukkan kepala sehaja. Ada keluhan yang kedengaran. ” Abang...sebenarnya Zura sudah lama menaruh hati dengan abang, sejak mula kita berkenalan lagi...” Aku agak terkejut mendengar pengakuannya. ” Zura tahu abang dah berpunya...tapi Zura tak kisah...kalau abang sudi, Zura boleh jadi yang kedua...Zura boleh jumpa kakak minta kebenaran...Zura tak kisah...biar apa orang kata...” Alamak! Kira bunuh diri kalau dia buat betul. Kali ini memang aku terdiam. Aiseh memang nahas aku. Sekali sekala aku memerhati sekeliling. Takut-takut diserbu pencegah maksiat, mati aku dan mana tahu dia sedang pasang perangkap hendak mengenakan aku.

” Zura...” Aku mulakan bicara. ” Apalah yang ada pada abang? Lagipun abang anggap Zura seperti adik abang sendiri...dan cinta ini hanya ada untuk isteri abang..” Pergh! Kalau isteri aku tahu mesti akulah penerima anugerah Suami Mithali peringkat kebangsaan tahun ini.

” Untung kakak dapat suami macam abang...kalaulah Zura kenal abang dulu sebelum dia...” Aku lihat ada titisan air mata dipipinya. Dia menghidupkan enjin kereta dan kami pulang ke hotel. Keesokkan harinya dia terus menghilangkan diri. Telefon bimbitnya ditutup. Aku tahu dia masih sedih. Sehinggalah aku masuk ke pejabat dan membaca emel yang dihantar kepada aku. Katanya dia sanggup tunggu hingga pintu hati aku terbuka untuknya.

Memang hampir seminggu aku tidak boleh tidur terbayangkan tawarannya itu. Cuma aku masih setia kepada kekasih hatiku dan hampir tiga jam malam itu memang terasa cukup panas dan ngeri untuk aku kenangkan. Bayangkan kalau entah syaitan mana rasuk aku malam itu dan aku setuju dengan lamarannya? Entah akupun tidak tahu. Kalaulah isteri aku tahu....

Friday, October 05, 2007

Aku dan Dato'

Aku berdiri betul-betul depan pintu Dato’. Salina, Pegawai Khas Dato’ tersenyum. Senyumannya memukau mata yang memandang. Sumpah kalau aku tak kahwin lagi dan akalu dia belum beranak empat, memang aku masuk meminang. Sejuk dari penyaman udara sedikit tidak membuatkan peluh aku reda. Takut aku hendak melangkah masuk. Mana tidaknya semalam seorang pegawai kanan jabatan aku hampir aku sempuk. Nasib baik si Lan ada, kalau tidak aku tidak tahu apa yang terjadi.

”Ala Zam, kau masuk jer...Dato’ tanya kau pasal kes gusti kau dengan botak tuh..” Aiseh ini yang lemah semangat aku. Aku kuatkan semangat.

”Masuk...” Aiseh garangnya suara Dato’ ...” Haaa...hang jebat masuk menghadap...” Perli Dato’ kepada aku.

”Ye Dato’ hang jebat masuk mengadap sultan...” Sempat aku berloyar buruk dengan Dato’. Memang nak mampus gamaknya.

”Ewah....hah duduk!” Aku akur. Dengan tertib aku mengatur kedudukan. Apa aku nak jawab nih. Mata aku liar memandang atas dan bawah. Fikiran aku ligat memikirkan alasan. Celaka kau botak. Aku mula memaki pegawai kanan itu. Kerana kes bajet terpakai membuatkan aku hampir melepuk dia. Apa tidaknya mulutnya asyik memaki aku pegawai bodoh dan bahalol. Siapa yang tidak tahan.

Dato’ merenung aku. Aku semakin gelabah. Orang tua nih...karang tak pasal-pasal aku pulak melepuk dia.

”Awat hang tak tumbuk sungguh-sungguh?” Aku terkejut.

” Jangan takut...dia tuh memang kurang ajaq...saya kenai lama dah...saya tak suka dia...ingat nak hantaq balik JPA...” Pergh betapa leganya aku. ” Pasai kes nih kira habis dah...saya dah dapat report...memang dia ada buat silap dalam bajet...jangan takut...” Selamat hidup aku. Aku terus bercerita tentang sejarah semalam. Dato’ mengangguk bila mendenganr segala butiran cerita aku.

”Jangan hang bertumbuk sungguh sudah..” Pesanan Dato’ Kepada aku sebelum aku melangkah keluar bilik. Aku hanya tersenyum. Tapi kalau botak itu buat hal lagi memang aku bertekad untuk membelasah dia.

Tuesday, September 25, 2007

Pagi Di Bulan Ramadhan

Suasana pagi di pejabat seperti selalu. Cuma yang tiada bau asap rokok dan semerbak kopi dari pantri. Kerja masih seperti biasa. Telepon acap berdering dan mesin faks masih tetap berbunyi. Aku termanggu di hadapan komputer. Tangan telah agak lama terhenti mengetuk papan kekunci. Idea berkenaan kertas kerja untuk dimajukan kepada Ketua Pengarah aku entah kenapa tiba-tiba berhenti.

Aku beralih merenung di atas meja aku. Bersepah! Fail-fail berselerak, kertas-kertas yang terconteng idea-idea kasar bersilang seli dengan nombor-nombor telepon yang entah siapa aku catatpun aku dah tak ingat lagi. Ahhh...Aku mengeluh kecil. Rupanya kesibukan aku bertugas diluar hingga aku terlupa kes dadah itu.

Tangan terus mencapai telepon. Nombor pegawai berkenaan aku dail.

” Hello... assalamualaikum!” Sapa aku.

” Walaikumsalam...ada apa Zam?” Ada nada lemah dihujung talian.

”Dah makan belum?” Tanya aku lagi.

”Gila kau Zam..kan bulan puasa nih!” Derai ketawanya memecah corong telepon.

“Aku test saja…kau tuh bukannya boleh percaya…eh aku nak Tanya pasal kes dadah tu la…apa cerita brader?”

“Eh mamat nih report aku dah hantar kat engkau daaa...” Aiseh, macam mana aku boleh terlupa.

” Ye..ke? Sorry geng..aku tak ingat la...anyway thanks...eh claim dah masuk belum?” Tanya aku.

“Line bank rosak..JMS kata jumaat nih baru boleh keluar…” Sial! Duit aku dah nak habis nih….

“ Ok la Lan…apa-apa hal aku kontek kau…”

“Ok Zam..dapat claim jangan lupa aku..ekekeke…” Balasnya lagi.

“Mana boleh lupa geng…assalamualaikum.”

”Walaikumsalam..” Ganggang diletak. Claim tak masuk lagi. Leceh macam nih. Duit dah nak licin. Ermmm kena tunggu jumaat ni nampaknya.

”Mel! Tolong cari report tata tertib kes dadah tu...” Pinta aku pada Mel melalui interkom.

”Ok boss...eh boss petang nih jangan lupa?” Mel mengingatkan aku.

” Ingat..pasal makan free sapa boleh lupa...ekekeke...” Ya, petang ni ada jamuan berbuka puasa di sebuah hotel terkenal di Kuala Lumpur. Mesti pergi. Nampaknya kes ini kena tengok balik. Ahhh...Biarkan dulu. Borang cuti raya perlu dihantar segera. Nak balik raya tahun ini. Lantas aku tersenyum sendiri.

Monday, July 30, 2007

Boss Aku Nak Cuti!

Baru menjejak kaki di pejabat tiba-tiba Mel menyapa.

"Bos petang nih mesyuarat.." Ala ini yang paling aku menyampah. Mesyuarat-mesyuarat. Tak habis-habis mesyuarat. Memang aku merungut. Apa tidaknya. Dengan kesibukan yang amat diganggu dengan mesyuarat. Dateline banyak nak kejar.

Aku sebenarnya baru balik kursus dekat tiga minggu aku dikursuskan di sebuah hotel 5 bintang di Pantai Cherating, Pahang. Kemudian tidak sempat balik ke rumah terus aku ke Kuala Terengganu untuk menghadiri mesyuarat. Tiba-tiba masuk pejabat mesyuarat lagi! Aduhhh...

Esok ke Putrajaya ada program di sana. Jumaat ke Sabak Bernam, Sabtu ke Taiping, Ahad ke Pulau Pinang, Isnin ke Alor Setar, Selasa ke Kangar pulak. Aiseh... Boss aku nak CUTI!

Wednesday, July 11, 2007

Terkenang Kisah Lalu...

Ahmad Azril Adam
Aku sebenarnya baru masuk pejabat setelah hampir 4 hari di Kuala Nerang. Bila balik rumah bukan main manjanya si Adam dengan aku, mandi nak aku mandikan, makan nak aku suapkan, tidur nak aku dodoikan. Ermmm layan je la. jangan sampai terlebih manja sudah. Nanti susah. Dan aku pastikan supaya Adam tetap menyokong Liverpool.


Hari Isnin baru-baru ini ada perjumpaan dengan kawan-kawan lama aku kat IPT. Macam-macam cerita silam terkeluar. Alangkah indahnya zaman itu. Bila terkenang zaman lampau iskh.. teringat masa bujang-bujang dulu pergi open house member aku yang kakak dia senior aku masa zaman sekolah menengah.


kakak dia terkejut tengok aku, "Isk ko masuk 'U' ker?" tanya dia kat aku depan member aku. Aku sengih jer. Lepas tuh member aku terkejut ler... Dia tanya kakak dia kenapa tanya macam tuh.


kakak dia jawap "Kalau nak tahu kawan kau ni lah raja segala setan kat sekolah!". Balik dari open house member aku, terfikir aku, jahat sangat ke aku masa sekolah dulu. nak jadi cerita masa aku kerja kat JPM dulu. Ada satu Konvensyen Kebangsaan yang dianjurkan oleh Jabatan aku. Aku terjumpa seorang senior (perempuan) sekolah aku. Dia perserta konvensyen tersebut dan aku dapat tahu dia salah seorang pensyarah di sebuah IPT terkenal di Lembah Kelang. Dia terkejut jumpa aku. Dia tanya aku kerja mana, aku jawab kerja biasa-biasa sahaja. Dan paling dia terkejut bila aku membentangkan kertas kerja dalam konvensyen tersebut. Terkocoh-kocoh lepas itu cari aku. Dia memang tak sangka. Dia ingatkan aku kerani biasa sahaja datang untuk membantu urus setia. Aku sekadar tersenyum sendiri.


Bila dikenangkan kembali zaman IPT dulu ramai kawan-kawan aku dah berjaya. Ramai juga datang ke open house member aku kat Damansara. Pak Non dah jadi akaun manager, Akim dah jadi penerbit di sebuah agensi kerajaan, Aroll sebagai PRO di sebuah agensi kerajaan, Mus dah jadi senior exec di sebuah institusi perbankan, Ayau wartawan TV3, Rudy dan Ali di Harian Metro, Joe di Berita Harian, Kupem senior exec di sebuah anak syarikat TM, Daus dah jadi managing director di sebuah Advertising Firm, Khidirah Naemah dah jadi penerbit pagi di ERA bila di hitung-hitung ramai dah kawan-kawan aku dah berjaya. Macam yang lain Zul, Nana, Nasir dan ramai lagi kawan-kawan aku yang tak sempat tulis sudah menempa nama dalam bidang masing-masing. Cuma aku tak sempat nak jumpa mereka bersembang tentang masa silam yang membentuk kami tabah menghadapi hari ini.


ps Malaysia Kalah lagi (5-1) ermmm sudah ku duga...

Wednesday, June 20, 2007

Tok Su Final

Agak lama aku menyepikan diri dari menulis dalam blog ini. Bukan merajuk tetapi sebenarnya aku terlalu sibuk dengan tugas-tugas semasa. Lagipun aku juga sibuk menulis. Aku sedang berjinak menulis novel. Kalau ikut perancangan sepatutnya dan siap manuskrip awal tapi tertangguh disebabkan kesibukkan yang amat. Sekarang baru ada kelapangan sedikit. Untuk itu aku akan tunaikan janji untuk mengakhir cerita Tok Su ini....

Sambungan...

Malam kian larut. Hujan seolah-olah tidak mahu henti berguguran dari langit. Suasana semakin dingin dan sepi. Seperti yang dijanjikan pak imam memulakan bacaan yassin manakala yang lain sedang nyenyak dibuai mimpi. Rumah Tok Su yang betul-betul di lembah kampung itu sedang dinaiki air. Mereka yang di dalam tidak sedar akan perkara ini. Guruh pula tidak malu-malu menghambur kemarahannya malam itu.

Dalam kegelapan malam dan suasana itu tiba-tiba dari hujung mata Tok imam itu dia terlihat pergerakan mayat yang ditutup dengan kain batik jawa. Bacaannya terhenti. Ahh tak mungkin. Sekadar ilusi bisiknya. Baru hendak dia meneruskan bacaan secara tiba-tiba tangan mayat tadi tidak semena-mena memengang lututnya. Dalam terkejut Tok imam tenang. Dia meletakkan kembali tangan mayat itu ke dalam kain batik yang menutup mayat tadi. Dia bingkas bangun. Ini tak boleh jadi, besar sungguh dugaan. Segera dia mengejutkan Tok Bilal. Dia meyuruh Tok bilal bangun sebab masa untuk mengaantikan tempatnya membaca yassin. Terkebil-kebil orang tua itu bangun.

" Aku nak pergi ambil air sembahyang dulu.." Kata Tok Bilal. Pak Imam hanya mengangguk. Dia tidak bercerita tentang kejadian tadi. Bila Tok Bilal ke bilik air segera dia mengejutkan anaknya.

"Jom balik.." Bisiknya.

"habis yang lain?" Tanya anaknya.

" Aku kata balik..balik la..." Tegas Tok Imam dalam berbisik. Anaknya segera mengikut bapa di muka pintu. Bila mereka mencecah di tanah air sudah naik ke pangkal peha.

Sebaik sahaja Pak Bilal kembali ke ruang tamu dia melihat mayat dah hilang! Kelibat Tok Imam dengan anak juga tidak kelihatan. Apa lagi buka langkah seribu. Pintu terkopak diterjah Tok Bilal kerana terkejut bunyi bising Ketua kampung terjaga. Bila dia melihat Tok Bilal terjun ke tanah dari atas rumah dia secara tiba-tiba menjerit memanggil Tok Bilal. Tambah terkejut bila dia lihat mayat dah tiada. Entah kenapa tiba-tiab dia mendonggak ke atas dan alangkah terkejutnya bila dia melihat mayat tadi sedang memerhatikanya dari alang rumah. Seperti Tok bilal dia terus terjun dari rumah. Rupanya air dah naik ke takat pinggang. Ketua kampung terlupa sahabatnya Tok Siak di atas rumah.

Kesudahan cerita:

Tok Imam dikritik hebat kerana lagi meninggalkan kawan-kawannya.

Tok Bilal telah dilantik menjadi Tok Imam kerana orang kampung hilang kepercayaan dengannya.

Ketua kampung memwariskan cerita ini hingga ke anak cucu dan dia semakin popular selepas kejadian ini dan hampir-hampir menjadi wakil rakyat.

Anak Tok Imam sampai hari ini tak percaya dengan cerita ini.

Tok Siak demam panas selepas kejadiaan ini dan tidak bercakap dengan Ketua Kampung, Tok Bilal selama setahun lebih.

Mayat Ayah Tok Su ditemui oleh orang kampung dalam keadaan berdakap dengan Tok Siak!

Friday, April 27, 2007

Tok Su Bahagian I


Semasa aku di tingkatan enam rendah, aku cukup suka pergi ke pasar malam Kelang Lama. Setiap hari khamis petang aku dan Pian Teloq akan memanjat pagar untuk ke pasar malam. Bukan untuk membeli tetapi entah kenapa aku pun tidak tahu. Mungkin untuk menghilangkan kebosanan di asrama. Pasar malam ini jarak dari asrama aku tak sampai dua kilometer. Selalunya aku, Pian Teloq, Art Victor kadang-kadang Jebo akan pergi melepak di pasar malam itu dan selepas itu kami akan tertumpu di kedai permainan video games di pekan tersebut.

Pian Teloq? Art Victor? Jebo? Memang gelaran yang pelik. Art adalah sempena namanya Azhar dan Victor pula sempena rumahnya di Ladang Victoria, Padang Serai lalu kami singkatkan gelaran Victor. Sekarang Art Victor berkerja sebagai MA di sebuah hospital kerajaan di Kedah. Manakala Jebo pula kerana sebutan Sarajevonya berbunyi Sarajebo nama sebetulnya Azril. Dengar khabar Jebo berkerja di sebuah kilang terkenal di Bayan Lepas sebagai Pengurus Pentadbiran di sana. Pian Teloq pula mendapat gelaran kerana semasa tingkatan tiga sewaktu kelas sains. Dalam makmal sains sewaktu belajar bab pembiakan manusia, Cikgu Arfah bertanya kepada Pian, apakah nama untuk yang menghasilkan sperma bagi manusia. Pian yang ketika itu sibuk melukis motosikal Harley Davidson di sebelah aku terkejut kerana leka. Dia terpingga-pingga lantas bertanya aku apakah jawapannya memandangkan dia tidak mendengar soalan. Aku memberi jawapan sambil berbisik kepadanya telor.
Dia dengan tidak teragak-agak menjawap dengan kuat ” Teloq Cikgu...” Lantas berderai satu kelas ketawa dan sejak itu lekatlah Pian Teloq sampai hari ini. Nama sebenarnya Sufiyan. Dia sekarang berkerja sebagai juru ukur di sebuah syarikat di Pulau Pinang.

Pada suatu petang semasa aku dan Pian Teloq melepak di pasar malam tersebut. Tempat lepak kami selalu di gerai menjual apam balik. Sebab yang jual apam balik kawan aku. Aku kanl dia semasa kami sama-sama wakil bola sepak daerah, di daripada sekolah lain. Tiba-tiba muka Piaq Teloq pucat lesi, dia terus menarik tangan aku untuk segera beredar. Aku jadi panik takut-takut warden yang Pian Teloq nampak. Aku yang sedang menghisap rokok ketika itu kelam kabut membuang rokok itu. Takut kantoi dengan warden asrama.

”Kenapa Pian?” Tanya aku setelah jauh kami beredar dari gerai Mat tadi.

”Tak ada apa-apa...” Muka Pian Teloq masih pucat.

”Cikgu Mat Sulung lalu ke?” Aku masih tak puas hati.

”Bukan...ahhh..nanti aku ceritakan di asrama...” Aku terus hilang mood untuk melepak di pasar malam dan kami bergegas pulang.

Keesokkan hari baru dia mahu bercerita itupun setelah aku ugut untuk lemparkan dia di dalam kolam sebelah rumah warden. Kolam yang sungguh busuk baunya (tempat kami menghumban sesiapa yang menyambut hari lahir).

Pian teloq bercerita yang dia terserempak dengan Tok Su semasa di pasar malam. Aku hairan takkan kerana Tok Su pun dia nak takut. Lalu dia mula membuka lembaran sejarah Tok Su.

Katanya Tok Su ketika muda memang lawa. Seingat dia Tok Su nih dah berumur lebih daripada 90 tahun dan dia tidak pernah berkahwin. Aku mula faham mukadimah cerita Pian Teloq. Ini mesti cerita misteri. Dia menyambung lagi ceritanya.

Katanya ayah Tok Su ini membela hanturaya sebanyak 44 ekor! Ayahnya kata ketika remang remang senja ketika kilat sambung menyambung bila cahaya kilat memancar maka mereka yang lalu di tepi rumah Tok Su akan dapat melihat dan mengira bayang-bayang hanturaya tersebut. Ayahnya bercerita kepadanya kejadian ini terjadi sekitar tahun 60an. Ketika itu musim hujan. Maka gemparlah kampung itu bila mendapat tahu ayah Tok Su sakit tenat. Sudah dua bulan terlantar di atas katil. Maka emak Tok Su memanggil imam dan ketua kampung untuk membaca yasin. Siapa yang berani? Hanya lima orang yang berani ke rumah Tok Su. Tok Imam, Tok Siak, Tok Bilal, Ketua Kampung dan anak Tok Imam.

Ketika mereka sampai ke rumah tersebut, mereka lihat ayah Tok Su betul-betul nazak di kelilingi oleh anak beranak. Tok Su ada dua beradik sahaja, dia dan abangnya. Ketika itu ayah Tok Su memengang tangkal di tangannya. Bau sudah begitu busuk. Mereka yang datang sudah tahu yang ayah Tok Su sebenarnay telah meninggal dunia. Akhirnya kerana tak snggup melihat ayahnya menderita, Tok Su dengan rela hati mengambil tangkal tersebut. Dengan itu ayahnya terus menghembus nafas.

Hujan makin lebat. Hari kian gelap, mahu tak mahu. Mereka terpaksa berpakat untuk mengebumikan esok pagi. Maka bersepakat mereka untuk membacakan yasin sepanjang malam. Emak Tok Su, Tok Su dan abangnya menyediakan keperluan mereka berlima. Air Kopi dan sedikit biskut. Mereka meminta izin ke rumah abangnya yang terletak tidak jauh daripada rumah Tok Su dengan alasan ingin memberitahu orang kampung tentang kematian ayah Tok Su.

Menjejak sahaja dinihari mereka mula membuat undian untuk membaca yasin, mengikut cabutan Ketua Kampung akam membaca dulu diikuti Tok Imam dan lain-lain. Ini kerana mereka ingin tidur sekejap almaklum usia dan tua dan tak mampu untuk berjaga malam.

Maka bermulalah episod ngeri mereka malam itu.

(bersambung...)

Friday, April 13, 2007

Tandas Perempuan Tingkat 13 Menara ITM


Bila membaca cerita Indera teringat aku satu kejadian di ITM. Ketika itu aku semester empat (part 4). Pada malam kejadian itu seingat aku yang terlibat aku, Gojem, Arol dan Pian sedang membasuh motosikal. Kerana aku menumpang Gojem dan Pian menumpang Arol ke School nak mahu tidak mahu terpaksa kami menolong Arol dan Gojem.

Selalunya kami membasuh motosikal di tingkat 13, tandas perempuan selepas kelas Asian Politik. Disebabkan sukar untuk membasuh motosikal di kolej kerana selalu dimarahi oleh RS. Mana tidaknya membasuh motor di dalam tandas. Lagipun selepas kelas malan di tingkat 13, tiada siapa yang akan berlegar di level tersebut. Ini memudahkan kami untuk membasuh motosikal (dah tidak ada orang yang marah).

Sehingga pada suatu malam, tak silap aku dalam pukul 12.30 pagi (kelas selalunya habis pukul 11.30 malam). Ketika itu aku sedang melepak ditepi pintu sambil menyedut rokok (cover line). Aku terdengar bunyi orang berjalan di tingkat 13.

”Jem... aku dengar bunyi orang la...” Aku menyapa Gojem yang tengah mengelap cermin sisi motornya.

”Iskh siapa pulak...kalau pak guard, diorang takkan naik waktu nih.” Gojem mula cuak. Selalunya pengawal keselamatan akan meronda sekitar 11.30 malam ketika habis kelas Asian Politik. Arol tidak puas hati. Dia mengajak aku untuk mengintai siapakah gerangan manusia yang berani naik ke tingkat 13 selain kami.

Perlahan-lahan pintu tandas kami buka. Dari lobi lif kami bergerak ke pejabat Dekan. Tiada tanda-tanda manusia yang lalu.

”Kau nih perasan la Zam, buat aku meremang je...” Marah Arol. Sumpah! Aku dengar tadi. Suasana di tingkat 13 memang gelap hanya lampu pejabat dekan dan lobi lif sahaja yang dibiarkan menyala. Memang menyeramkan suasana tersebut. Kami segera bergerak balik ke tandas.

”Siapa tadi?” Tanya Pian.

”Zam nih perasan kut...” Balas Arol. Gojem hanya mencangkung memerhatikan kami.

”Jom balik a...” Gojem mula merengkek. Aku tahu dia dah berapa selesa dan mungkin takut. ”Aku tak sedap hati a..” Sambungnya lagi. Tiba-tiba terdengar bunyi orang membuka pintu. Aku pasti bunyi itu dari pejabat Dekan. Semua kami memandang sesama sendiri. Kami bergegas ke pintu tandas. Terdengar bunyi derapan kasut orang sedang berjalan dan semakin kuat ke arah tandas.

”Aku dengar dulu tandas ini ada orang maaa...” Kepala Gojem aku ketuk.
”Mulut jangat celupar!” Bisik aku. Kami mendiamkan diri. Bunyi kasut itu semakin kuat ke pintu tandas. Aku meniarap memerhatikan dari celahan di bawah daun pintu. Satu kelibat bayangpun aku tak nampak. Bila aku bangun, aku perhatikan Gojem sudah pucat lesi. Ada percikan peluh dinginnya di dahi. Tiba-tiba bunyi itu berhenti betul-betul di pintu tandas. Bulu roma ku mula meremang. Aku tahu, kawan-kawan aku berdoa agar ’mahkluk’ itu tidak menerpa masuk ke dalam tandas.

Aku mencapai kayu mob yang ada di tepi pintu sebagai senjata terakhir. Gojem dan Arol mengeluarkan spana manakala Pian bergerak perlahan-lahan masuk ke dalam tandas dan mengunci pintu tandas daripada dalam. Ketika itu aku berdoa agar ’makhluk’ itu segera beredar daripada depan pintu tandas. Suasana menjadi betul-betul sunyi sepi, yang kedengaran oleh aku kumat-kamit mulut Gojem membaca entah serapah apapun aku tak tahu.

Entah macam mana bunyi tapak kasut tadi kedengaran mula beredar ke arah lain. Semacam lega perasaan aku.

”Ok kita keluar perlahan-lahan ke lif..” Bisik aku kepada mereka. Aku membuka pintu. Perlahan-lahan aku menjengok kepala keluar. Hendaknya tiadalah ’mahkluk’ itu. Doa aku termakbul. Apa lagi, dengan segala kudrat yang ada kami menolak motor dengan laju ke arah lif. Pesanan tadi sudah diabaikan. Harap-harap lif segera terbuka. Tiba-tiba bunyi derap kasut tadi berbunyi lagi. Alamak! Semacam berlari ke arah kami. Ting! Lif terbuka. Kami menolak motor dan menutup lif dengan segera. Mata aku pejamkan. Tak sanggup melihat ’makhluk’ itu. Bunyi itu semakin dekat. Aku semakin panik, namum mata aku tetap pejam. Ya Allah selamatkanlah hambaMu ini. Aku mula berdoa. Seraya pintu lif tertutup, aku terdengar satu pekikan yang mengerikan.

”Jangan lari!” Lantas mata aku terbuka. Bukankah itu suara Dekan?

Esoknya aku, Gojem, Pian dan Arol dipangil menghadap Dekan atas kesalahan membasuh motosikal di tingkat 13, Menara ITM. Rupanya Dekan datang untuk mengambil kertas kerja seminarnya yang tertinggal. Beliau juga merasakan apa yang kami rasa. Berderau darahnya bila dia mendengar bunyi air sangkanya melimpah di tandas perempuan tersebut. Bila beliau menghampiri tidak pula kedengaran bunyi air. Bila aku tanya kenapa tidak masuk ke dalam tandas.

”Gila! Awak ingat saya ni berani sangat ke?” Jawapnya sambil ketawa. Kami didenda oleh Dekan dengan membasuh keretanya selama sebulan. Selepas kejadian itu kami tidak membasuh motosikal di tingkat 13 lagi. Taubat dah......

Tuesday, April 03, 2007

Rahsia

(gambar ini tiada kena mengena dengan cerita!)
Rahsia? Siapa yang tidak pernah berahsia. Aku? Memang banyak rahsia yang aku simpan. Sejak dari sekolah menengah lagi banyak rahsia yang aku simpan dan sedikit demi sedikit terbongkar. Paling terbaru, rahsia aku dengan rakan-rakan memecah masuk ke bilik guru untuk mendapatkan soalan bocor ketika aku tingkata tiga dahulu. Memang kecoh ketika itu sampai pengetua membuat perangkap tetapi terkena kepada orang lain. Rupanya sahabat yang bersengkongkol dengan aku terbuka cerita dengan Cikgu Zaiton yang kini menjadi rakan sepeguruannya di sebuah sekolah sekitar Kulim, Kedah. Kecilkan dunia?

Cuma rahsia ini belum terbongkar. Hanya aku, Arol dengan Akeem sahaja yang tahu. Rahsia seorang yang bernama Chip! Bermula kisahnya disebuah rumah sewa di Shah Alam ketika aku masih bergelas seorang mahasiswa. Ketika itu aku menjalani sessi praktikal di sebuah syarikat penerbitan di Kuala Lumpur. Praktikal kami semasa semester kelima pengajian. Semasa menjalani praktikal kebanyakkan kami dibekalkan oleh tempat praktikal dengan telefon bimbit untuk memudahkan kerja kami. Enam bulan lamanya. Ketika itu sesiapa yang mempunyai telefon bimbit boleh dikatakan hebat. Almaklumlah telefon bimbit ketika itu barang mewah.

Pada petang ahad, Akeem telah pulang ke rumah sewa dennga bangganya dia menunjukkan telefon bimbit yang diberikan oleh tempat praktikal kepada aku.

”Zam, canggih tak tepon aku nih?” Dia kemudian duduk sebelah aku diruang tamu ketika aku tengah membaca komik Pedang Setiawan yang baru aku dapat rebut daripada Man BM (Bukit Mertajam). Rakan-rakan serumah lain sibuk dengan assingment masing-masing ada juga yang berdating.

”Waseh...sempoi beb!” Aku teruja melihat telefon model Motorola Flip terbaru itu (kalau sekarang malu aku nak pakai). Aku terus membelek.

”Kau ada no telefon Zara tak?” Tiba-tiba Akeem bertanya.

” Ada, kenapa?” Telefon tadi mula bertukat tangan kembali kepada tuannya.

”Aku ada hal dengan dia la....nak tanya pasal program hari keluarga school kita sem depan.” Ah lagak Presiden Kelab masih terbawa-bawa ngomel aku.

”Nah...” Aku memberikan nombor tersebut. Akeem terus mendail dan menghubungi Zara. Zara ialah rakan sekelas aku semasa di ITM. Aku dan dia jarang berkomunikasi, mungkin sebab aku yang terlalu ‘peramah’ dan amat nakal semasa di ITM.

”Hello... Assalamualaikum...Akeem nih...” Aku mendengar perbualannya.

”Hah? Tak percaya? Akeem ni...ok..ok..saya Chip...mana dapat nombor ni? Ala Zam yang bagi...tak percaya tanya Zam....Alamak dia off la pulak...” Akeem mengeluh.

”Oii...apsal kau tipu budak tu?” Aku tak faham.

”Dah aku cakap betul-betul dia main-main pulak...ambik ubat batuk!” Akeem tertawa besar. Tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi. Tertera nama ZARA di skrin.

”Hello?”

”Apsal kau bagi nombor aku dekat orang lain?” Aik marah pula minah ni, hati aku mula panas. Mana tidaknya salam tak beri, hello pun tidak ada. Akal aku mula berdetik untuk mengenakan minah ini.

”Ala sorry la...dia minta bersungguh-sunguh nak kenal dengan kau..” Aku mula berbohong. Akeem merah padam muka menahan ketawa.

”Macam mana dia kenal dengan aku, dia tu siapa?” Zara mula ingin tahu.

Aku mula membuat hikayat. Aku cerita daripada A hingga Z (semua itu tipu belaka). Chip ialah anak kepada majikan tempat aku praktikal (kiranya anak orang kaya ni). Umur tua tiga tahun. Kerja model sambilan (kira kacak la tu). Chip jatuh hati denga Zara bila melihat gambarnya dalam album gambar aku ketika itu kami bergambar ramai-ramai satu kelas semasa satu lawatan ke rumah anak yatim di Kuala Selangor.

Pelik tapi benar. Dia percaya. Dia termakan dengan cerita-cerita aku. Bermula saat itu. Akeem mendukong watak utama sebagai Chip. Aku pengarah dan penulis skrip serta watak pelakon pembantu manakala Arol penjaga kesinambungan cerita agar ia benar-benar tulen tidak nampak penipuan.

Kerana ingin sangat menipu kami terpaksa daftar satu talian untuk Akeem yang baru agar Zara tidak syak. Almaklumlah satu School. Hampir setahun projek ini berjalan sehingga pada malam MPG (Malam Pra Graduan) aku rasa sudah sampai waktunya untuk cerita ini ditamatkan. Aku rasa amat berdosa bila aku tahu, rupa-rupanya Zara benar-benar jatuh cinta. Zara selalu minta agar dapat bertemu dengan Chip. Tapi kami reka alasan untuk tidak berjumpa. Kadang-kadang kami biarkan dia menunggu ’Chip’ berjam-jam di komplek PKNS Shah Alam kemudian baru telefon tidak dapat datang kerana ada pengambar iklan di tempat tertentu. Memang kasihan. Tapi aku hormat dekat Zara. Aku rasa dia amat setia dan tidak pernah memarahi ’Chip’.

Kami akhir cerita dengan mengatakan ’Chip’ dipaksa menyambungkan pelajaran ke US oleh kedua orang tuanya. Dia akur kerana dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga dan bakal menerajui perniagaan keluarganya satu hari nanti.
Ayat terakhir yang aku karang dalam skrip ini rupanya menyentuh kalbu Zara.
Dengan suara Akeem yang memang merdu didengar (Akeem pernah berkerja sebagai DJ disebuah stesyen Radio terkenal di Malaysia).

” Zara percayalah perpisahan ini hanya sementara dan bukan berkahirnya perhubungan kita... tapi Chip percaya kiranya Zara bertemu insan yang lebih baik dari Chip, Chip redha dan Chip akan lebih bahagia kalau pilihan Zara itu nanti dapat membahagiakan Zara...” Aku dan Arol memang selalu berada dengan Akeem setiap panggilan yang Zara buat. Akeem beritahu pada perbualan terakhir ini terdengar esaakan dihujung talian.

Perancangan kami memang teliti. Sampai hari ini Zara masih tidak tahu yang ’Chip’ hanyalah satu watak rekaan yang tidak pernah wujud di alam nyata ini. Pernah juga aku cuba hendak memberitahu tentang penipuan ini, tapi aku takut. Sebab ini melibatkan hati dan perasaan. Sekarang Zara berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di sebuah syarikat mintak terkenal di dunia. Masih sendirian. Dari teman-teman yang lain dia masih keseorangan. Mungkin menanti ’Chip’ aku tidak tahu. Mungkin cintanya masih menebal dengan ’Chip’ aku tidak tahu. Cuma aku tahu rahsia ini masih tersimpan di dalam hati tiga manusia. Entah bila aku akan membuka rahsia ini. Aku sendiri tidak tahu. Kalau boelh biarlah keluar dari mulut kami bertiga.

Wednesday, March 14, 2007

Kerja Berat

Ketika aku asyik menaip kertas kerja di komputer, tiba-tiba Nida kerani di pejabat aku mengetuk pintu bilik.

"Encik Zam...boss panggil." Katanya di depan pintu bilikku. Belum sempat aku bertanyakan tujuan dia. Daripada riak mukanya, aku dapat baca sesuatu yang tak kena.

"Boss mana? Dato" ke Tuan Haji?"

"Tuan Haji..." Laungnya daripada partisennya. Aku segera mencapai tali leher. Aku tahu Tuan Haji tak suka pegawainya tidak kemas. Tali leherku ikat kemas. seingat aku, tali leher ini hadiah hari jadi oleh isteriku ketika kami masih bertunang. Aku bingkas bangun. Buku nota ku capai dan bergerak ke bilik Tuan Haji. Otak ini ligat berfikir. Apa lagi yang hendak dibincangkan oleh ketua aku ini. Mungkin program di Labuan Ahad ini barangkali. Ataupun program di Bagan Datoh. Tiba-tiba aku teringat laporan aku kepada Menteri. Mungkin perkara ini yang hendak dibincangkannya.

Langkah kakiku cepatkan. Banyak kerja yang perlu diselesaikan hari ini. Program di Labuan memerlukan koordinasi yang kuat antara ibu pejabat dan pihak sana. Pegawai di sana telah aku hubungi. Kerja kerja perlu disemak. laporan perlu dibetulkan. Semua perlukan salinan. Aku berharap agar mesin pencetak tidak buat masalah lagi. Aku tidak gemar membawa balik kerja ke rumah. semua mesti diselesaikan di pejabat, biarpun lewat malam.

Pintu biliknya ku ketuk.

"Haa Zam... duduk..." Riak mukanya sedikit berkerut. Mungkin memikirkan sesuatu.

"Ye boss... ada apa nak jumpa saya?" Aku bertanya. Lagi cepat hal ini habis lagi bagus.

"Macam mana saya nak cerita yer..." Ada keluhan diakhir ayatnya. Aku mula rasakan sesuatu yang tidak kena.

"Kenapa boss?" Aku ingin tahu.

Dia mula bercerita. Kisahnya dua orang pegawai telah ditahan polis kerana disyaki mengedar dadah. Dia yakin mereka dianiaya. Berat sungguh. Aku terkedu. Macam mana boleh jadi percara ini?

"Zam... tolong settlekan masalah ni." Tuan haji merenung aku tepat. "Saya tanak perkara ni sampai ke KP, payah!" Aku tahu dia amat berharap. Aduh.

"Perkara macam ini kalau dah naik mahkamah payah boss." Aku memberi pendapat.

"Nak buat macam mana lagi... okey macam ni lah...kalau hang boleh settle dengan polis hang settle lah... kalau tidak ikut prosuder biasa..." panjang arahannya.

Balik bilik aku termenung. Macam mana nak selesaikan masalah ini. Jabatan boleh mendapat malu. Sedang aku berfikir telefon bimbit ku berbunyi. Di Skrin tertera nama KP.

"Hello Dato', ya...ya...saya dah maklum perkara itu...ok Dato' saya faham...ya..ya kita akan siasat perkara ini, saya akan minta pihak negeri hantar laporan detail dan salinan untuk Dato'...ok...waalaikumsalam." Aku letakkan telefon. KP dah tahu. Aku pasti KP dah telefon Tuan Haji. Ada nada tegas dari Dato'. Nampak gaya terpaksa aku mengikut prosuder yang ada. Kes ini akan dibicarakan.

Bertambah kerja aku lagi. Esok aku perlu membuat siasatan.

Tuesday, March 13, 2007

Di Taq oleh seseorang


Ini adalah destop kat opis aku. Kalau kat rumah lain pulak.

Sebagai meneruskan virus ini supaya merebak ke seluruh kotak-kotak..saya ingin sekali melihat desktop:
1) Khairyn - pencinta German Muslim Caucasian.

2) Indera Kencana - kumpulan tidak boleh makan ikan tapah.
3) Zwit - yang mencari keseimbangan.

4) Izinni - akak ikan keli pemantau keyboard terbakar.

5) 13 May - penyumbang terbesar asap naga.

6) Bayu Senja - yang sedang berusaha mendelete memori silam bersama si dia.

7) Hakim Dirani - sahabat Bayu Senja.

8) Achik - yang terhutang cheese cake dengan saya :)

9) Black Purple - jawo pinter yang menanti Rosnah Mat Aris menjawab tag peliknya.

10) Bunga Rampai - harumnya bisa mengertak bapak polisi.

11) Lindosh- yang runsing dengan permukaan bulan.

12) Purple Heart - moga diberikan ketenangan hati dan fikiran.

13) Hani Sumayyah - seorang ibu yang kuat semangat.

14) Inilah saya - seseorang yang baru menerima orang baru dalam keluarganya.

15) Jerangkung - tetamu baru Iman Mawaddah.


Aku telah ditag oleh Iman Mawaddah. Sebenarnya wall paper aku gambar lambang liverpool fc disebabkan nak up load kat sini biarlah aku tunjuk gambar anak aku.

Friday, March 09, 2007

Warkah duka seorang perindu

Ketika aku di sekolah menengah pernah aku mengusik seorang pelajar perempuan yang aku cukup sakit hati dengan menghantar surat cinta kepadanya. Semasa itu aku tingkat 5 dan dia 6 rendah. Ketika dia dilantik menjadi pengawas selalu dia saman aku kerana datang lambat ke sekolah (sedangkan aku duduk di asrama). Kemuncaknya bila aku dipaksa oleh Cikgu Mat Besi (nama samaran) untuk berdiri sebatang kara di tengah padang bola sekolah dari awal pagi sampai loceng rehat dengan memegang sepanduk 'SAYA DATANG LEWAT KE SEKOLAH HARI INI'.

Perkara pertama yang aku lakukan. Aku tunggu dia balik sekolah sebab dia duduk asrama. Dengan berbekalkan kulit tembikai yang aku kutip didewan makan, seingat aku ada tiga ketul. Daripada tingkat tiga dengan megahnya aku lempar kepada dia. Kerana aku pemain kriket sekolah merangkap kapten daerah bawah 21 tahun, ketiga-tiga kulit tembikai tadi melekat di atas kepalanya. Aku dengan megahnya berdiri di koridor tingkat tiga itu menunjuk muka.

"Jaga hang!... aku repot kat warden!" Jerit dia tak puas hati. Tapi aku kagum kerana sedikit pun dia tidak menangis.

"Peduli apa aku repot la...aku tak takut pun..." Laungku Kembali. Natijahnya malam itu aku disebat dua rotan oleh Cikgu Ahmad Sulung.

"Kalau bukan hang pengawas asrama, bukan main bola dah lama aku buang asrama hang ni..." Aku ingat macam mana marahnya Cikgu Ahmad dekat aku. Cikgu Ahmad jurulatih bola sepak sekolah aku. Malam itu dia berleter dekat aku seingat aku hampir subuh aku menahan telinga. Seperti biasa zaman remaja, masuk telinga kiri keluar telinga kanan.

Selepas peristiwa itu aku makin menyampah dengan pelajar itu. Aku buat pakatan dengan rakan-rakan seperjuangan yang juga tidak berpaus hati dengannya. Keputusannya kami mengambil langkah untuk mempermainkan hatinya. Maka bermula episod meranapkan hati pelajar perempuan itu. Setiap minggu aku menghantar surat cinta kepadanya. Menggunakan nama samaran Iskandar. Sememangnya Iskandar tidak pernah wujud di sekolah. Kami berbalas-balas surat sehingga dia hampir untuk mengambil peperiksaan percubaan STPM. Ketika aku sedang menunggu keputusan SPM aku tetap melayangkan surat padanya melalui seorang junior aku. Kasihan itu ada bila daripada kawan-kawannya memberitahu yang pelajar perempuan itu mula angau sendirian. Puas rasanya hati ini dapat membalas dendam. Yang aku rasa amat aneh dia tidak pernah bertanya siapa itu 'Iskandar' dan tidak pernah untuk minta berjumpa. Seolah-olah dia terpukau dengan surat-surat cinta aku. Dia meluahkan segala perasaannya melalui surat cintanya. malah segala masalahnya dia luahkan juga. kadang-kadang terasa aku seperti seorang kaunselor. Selalunya suratnya akan ku bacakan di depan rakan-rakanku yang lain. Malah suratnya seperti penghibur kami setiap minggu. Kami akan ketawa berguling-guling bila menbaca suratnya.

Akhirnya kerana rasa belas aku akhiri episod 'cinta palsu' dengan menuduh dalam surat yang dia kononnya mempunyai hubungan dengan rakan lelaki sekelasnya. Dalam surat dia menafikan bersungguh-sungguh, dan dia mohon untuk berjumpa dengan 'Iskandar'. Rakan-rakannya memberitahu yang pelajar itu sudah mula murung dan diam. Takut juga aku. Tapi bila mengenangkan dia yang mencari masalah, aku teruskan niat membalas dendam aku. Rakan-rakanku di asrama perempuan memberitahu yang hampir dua bulan dia murung dan pelajarannya mula merosot. Misi aku berjaya. Dendam terbalas. Tetapi aku bersyukur kerana keputusan STPM dia berjaya. Mana tidaknya andai kata dia gagal dan menyalahkan 'Iskandar' tidakkah aku menanggung dosa. Dengar khabar sekarang sudah menjadi seorang guru di utara Malaysia. Dan dengar khabar pelajar perempuan itu sudah tahu aku yang mendajalkannya. Ini kerana semasa kursus KPLI seorang rakan kelas aku yang sekursus dengannya telah memecah Segala rahsia. Alhamdullilah. Terima kasih kerana memaafkanku.



Ini adalah surat terakhir yang aku tulis kepada pelajar perempuan itu. (Semua surat yang aku karang selalunya aku simpan dalam fail, bukan apa untuk buat rujukan.)

Assalamualaikum...

Pertama kalinya izin kan aku untuk berbicara denganmu biarpun sekadar secebis warkah buruk ini yang mungkin telah dikau lemparkan ke dalam tong sampah. Andainya dikau membaca warkah ini, percayalah bukan niatku untuk melukakan hatimu itu tetapi sekadar untuk bercerita bukan untuk menagih simpati. Aku tahu sudah tiada ruang untuk aku berdiri hatta sejengkal jari di ruang hatimu itu...

Aku mohon maaf kiranya warkah ini menganggu dirimu. Sebenarnya sudah puas aku cuba melupakan mu sayang... tapi ternyata kenangan indah bersamamu di alam mimpi-mimpiku masih tertancap kemas dibenak ini...

Sayang...

Pernah aku cuba membuang segalanya...tapi aku tidak berdaya persis menahan ombak yang sedang menggila menghempas pantai tak kala angin monsun beralih arah. Aku benar-benar tewas sayang. Bila aku merenung gelap malam pasti aku terkilan melihat bintang bersinar gembira menemami purnama, sedangkan aku masih tertunduk dan dikau sudah pergi jauh dari hati ku....


Sayang...

Hati ini masih bersinar seperti pelangi tak kala banjir sudah melanda di tanah gersang yang kering akibat kemarau tujuh keturunan. Biarpun aku tahu kau sudah milik orang lain.

Sayang...

Biarpun mencintaimu itu bagaikan menelan racun berbisa, biarpun mengasihimu seperti menikam sembilu di kalbu, biarpun menyayangimu umpama menelan hempedu...aku redha...kerana cinta ini tidak pernah padam biarpun dirimu milik insan lain...

Sayang...

Izinkan aku mencintaimu biarpun dirimu milik orang lain....kerana aku tidak lagi mampu memilikimu.




Kronologi Hidup

Impian:
Setiap insan mempunyai impian.
Berusahalah untuk mencapai impian.
Tetapi kadang-kadang impian yang tidak kesampaian boleh menjadi mimpi buruk dalam hidup.

Cinta:
Cinta itu sesuatu yang indah, pelik dan tidak terungkap dengan kata-kata. Setiap insan ingin dicintai. Adakah kita kan bertemu dengan cinta sejati? Tetapi berhati-hatilah kerana cinta kadang-kadang boleh menjadi kejam dan amat menyakitkan.

Hidup:
Hidup ini satu perjuangan.
Berjuang untuk hidup.
Berjuang untuk sebuah kehidupan.
Berjuang untuk menentukan kehidupan.


Selamat hari wanita untuk semua wanita di muka bumi ini terutama untuk isteriku yang tercinta, ibuku yang tersayang, adik-adikku. Semoga kalian tetap menjadi muslimah yang soleh serta dibawah rahmatNya!

Khas buat mereka...


Selembut bayu pagi yang menghembus
sepoi-sepoi sepi menerjah wajah ini
lembut lagi wajahmu itu ketika merenungku!

Secantik sekuntum kelopak mawar merah
cantik lagi kelopak bibirmu yang senantiasa tersenyum mesra pada ku!

Seindah mentari sore terbenam di ufuk barat
indah lagi rambutmu yang mengurai disinari bulan purnama!

Seputih pantai yang menghadap setia lautan luas di sebuah pulau bahagia
putih lagi hati dan jiwamu!

Kalaulah kau bisa mengerti akan hati ini
kau pasti kan menangisi kerinduan
yang selama ini terpendam di lubuk jiwa.....


Kalaulah kau milik ku MUTLAK!

Monday, March 05, 2007

Pedulikan Mereka!

kata mereka;
hingus ku masih meleleh
belum kenal erti dewasa!

kata mereka;
kail panjang sejengkal
lautan dalam jangan di dalam
jangan diduga!

kata mereka;
umur ku baru setahun jagung
usah pandai berbicara!

kata mereka;
tubuhku masih merah
diam sahaja...

kata mereka;
mereka lebih awal
makan garam!

kataku;
pedulikan mereka
jika bertongkatkan
ilmu dan tuhan!
jika otak dan hati
bergerak harmoni!
pedulikan mereka!

Entahlah... bila mengenangkan cerita semalam, aku selalu tersenyum. Apatah lagi bila membaca rentetan hidup Indera semacam ada terpanggil tentang kenangan kenangan lalu. Bila aku terbaca sebuah novel mencerita kisah hidup di asrama aku menjadi rindu pada kenangan lalu. Yang pahit itu pengalaman dan yang indah itu kenangan!

Thursday, March 01, 2007

Sempena hari Tentera Darat. Aku ingin salut mereka. Kerana mereka tunjang negara.

Derap langkah itu bergema lagi,

Perjuangan yang tidak pernah selesai,

derap yang berpantang maut sebelum ajal.

Pada setiap keringat,

Pada setiap lelah,

Pada setiap darah tertumpah,

Derap langkahmu tetap ampuh

Mempertahankan nusa.

Andai setiap langkah mu,

Andai setiap hela nafas mu,

Andai setiap titis-titis air mata

Isteri, ibu dan anak- anak mu,

Aku pasti tidak berbayar

Dengan semua emas yang disatukan

Oleh anak bangsa ini.

Gagah setia menongkah setiap onar,

Taat setia menentang musuh negara,

Dengan laungan Gempu Wira!

Pengorbanan mu tidak akan ku lupakan.

Sebenarnya perjuanganmu,

Mengangkat maruah dan martabat bangsa ini.

Dan kerana itu derap langkah mu bagaikan

Lagu indah di bumi bertuah ini.