Monday, August 03, 2009

Fikir dan renung-renungkan lah...

Aku terbaca dalam blognya dan akhbar UM baru-baru ini..

Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan suruhanjaya bebas diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock. Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini. Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini. Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan.
Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina MCA, Gerakan (BN) dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan. Saya tidak nafikan ada yang tidak kena dengan cara SPRM mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina.

Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan yang lebih ekstrim mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang bakal lahir yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock ‘dibinkan’ atau diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini.

Sedarkah ketua wanita MCA bahawa betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukareala) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini?

Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfucius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan ketua wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan bersekedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah. Saya masih tidak faham kenapa hari ini, terlalu ramai di kalangan kita suka menjadikan wanita sebagai mangsa dengan melakukan hubungan seks (sehingga mengandung) sebelum dinikahkan? Ajaran agama manakah yang membenarkan hubungan haram ini? Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrim. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu.
Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami. Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebalik. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai.
Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1988. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah? Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan parti PAS dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri.
Kes yang hampir sama berlaku, saya masih teringat pada November 2005, kononnya tahanan warga Cina telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambar-gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar-akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat saya, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat dari kejadian tersebut. Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrim MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga Cina tetapi seorang gadis Melayu.
Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina. Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi.

Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikan dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita? Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum.
Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi. Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam. Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah?
Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibarat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau. Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini. Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan.
Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uigur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini? Hanya kerana orang Cina itu beragama ISLAM, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat seperti cacing kepanasan.
Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu Murtad (Lina Joey), berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad. Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad. Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi.
Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrim ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah. Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan.
Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit. Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntung sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, UPNM (email: mrtee@upnm.edu.my)
Disiarkan: Utusan Malaysia, 26 Julai 2009

Wednesday, July 29, 2009

Aku, Dia, Yeoup dan Mamat Khalid....lupa pulak KPI....

Pergh...sudah lama aku tak menulis di blog ini. Ternyata alasan yang sering aku berikan kesibukkan yang amat. Sebenarnya itu antara faktor yang aku gagal mengemaskini blog aku ini. Maaf teman-teman yang selalu menjengah dan hampa tanpa sebarang jurnal hidup ini. Salah satu faktor lagu adalah writing block! yang sering aku alami lewat dua tiga menjak ini.

Aku rasa demam writing block ni terlalu lama...duduk depan PC atau lap top...mula merenung masa silam atau masa depan. Terus aku kelam dengan segala butiran hendak aku laku kan dan tulis di sini. Bak kata Director Mamat Khalid semasa dia datang buat picthing di tempat aku..." Orang kreatif memang macam tu...mike dengan teman serope jer..." Memang pekat loghat Perak dia Yeoup. Dan aku harap dia menang pichting itu supaya dia dan aku dapat memerah idea membuat satu TVC yang jitu sempena hari lembaran ini....

Banyak perkara yang aku lalui... sejak tak penulisan terakhir aku sudah bertukar ke sebuah kementerian yang PM sasarkan antara 6 NRA or KPI kepada beliau dan kerajaan. Gamaknya terpaksala aku pulun kerja. Ermmm entahlah bila sebut KPI semua orang panik...bagi aku apa yang nak di panikkan...sedangkan bila kita hidup ini kita ada KPI kita kepada tuhan antara KPI kita yang selalu kita lupa....sembahyang 5 waktu antara KPI yang perlu kita jaga...Bagaimana KPI kita pada keluarga, Komuniti dan agama? Bak kata Nabil....Lu pikir la sendiri...

Saturday, December 27, 2008

Selamat Ulang Tahun Ke Empat



Selamat Ulang Tahun Perkahwinan kita yang kelima... Semoga cinta ini hanya padamu sayang!!!

Wednesday, November 05, 2008

Cerita


Pendaftaran kemasukan semester baru untuk pelajar ITM di Dewan Sri Budiman berjalan dengan lancar. Darimi baru selesai mendaftar semester baru dan inilah semester terakhirnya sebelum dia melangkan keluar dengan segulung ijazah. Dalam hiruk – pikuk dan kekalutan pelajar lain mendaftarkan diri, Darimi tercangak – cangak mencari Naim, teman baiknya. Tiba – tiba, Darimi merasakan tubuhnya hilang imbangan lalu jatuh tersungkur. Fail – fail untuk pendaftaran yang telah selesai tadi bertaburan di lantai. Suasana menjadi sepi. Semua mata memandang ke arah Darimi yang tersungkur itu. Darimi bingkas bangun sambil mengibas – gibas selaur jeans lusuhnya yang dibeli seingat dia setahun lalu di salah sebuah kedai pakaian terpakai di Shah Alam. Bibirnya terasa pedih dan perit. Darimi tahu yang bibirnya berdarah.

“Malaun mana yang langgar aku ni.” Marahnya mula berputik. Hatinya geram bercampur malu atas kejadian tadi. Darimi sedar pelajar-pelajar yang memerhati tadi sedang berbisik-bisik dan tersenyum kepadanya. Mana tidak, seorang senior jatuh tersungkur. Bukankah itu satu musibah besar baginya. Hatinya bertambah sakit bila mengenangkan Naim yang tidak muncul – muncul walaupun semalam beriya – iya berjanji di telepon untuk berjumpa di depan pintu Dewan yang tersergam dan menjadi kebanggaan pelajar ITM.

”Maaf bang...” Darimi menangkap satu suara yang gemersik dari arah belakangnya. Perempuan! Getus hatinya.

”Apa maaf-maaf? Mata letak di lutut gamaknya. Nasib baik aku hidup lagi.” Terhambur ngomel kecil dari mulut Darimi yang sakit hati sejak peristwa tadi.

”Sa...saya tak sengaja.” Ada kesalan dihujung suara gadis itu. Mungkin kesal dengan apa yang terjadi.

Darimi bingkas berpusing ke arah suara gadis tadi. Kelu lidahnya. ”Cantik!” Apa yang sepatut berkata – kata di hati terlepas oleh lidah kerana mata terpesona dan akal berhenti untuk berfikir bila menatap wajah gadis itu. Mata bening gadis itu memohon belas simpati dari Darimi.

”Hoi Darimi! Sinilah!” Jerit nyaring Naim dari anak tangga menuju ke foyer.
Darimi segera menoleh ke arah Naim yang memang dinanti selama ini. Dia melambai Naim agar segera kepadanya. Gadis itu cepat – cepat berlalu pergi bila melihat Darimi memanggil Naim. Risau, takut – takut dia akan dimarahi oleh Darimi di khalayak ramai. Darimi berpusing semula untuk menatap wajah ayu tadi. Hampa. Entah kenapa tiba – tiba dia terasa rindu untuk menatap wajah ayu itu semula, melihat mata bening gadis tadi. Pedih di bibir dan di hati tadi diganti dengan satu perasaan yang indah tidak dapat digambarkan oleh Darimi. Darimi mengeluh kecil. Kesal, yang pertamanya sebab marahkan gadis ayu tadi. Yang kedua kesal kerana dia tidak tahu bila akan bertemu dengan gadis itu semula.

tunggu kemunculan novel ini di pasaran..

Friday, October 17, 2008

Kenangan itu kembali lagi...

Semalam ketika perjalanan pulang ke rumah dalam kesesakan lalu lintas aku memasang CD lagu kumpulan May salah satu band rock kegemaran aku dulu. Bila kedengaran lagu Sendiri entah kenapa seribu satu kenangan zaman sekolah menengah aku kembali. Entah mengapa aku tiba-tiba terasa amat rindu untuk bertemu dengan teman-teman aku itu.

Kenangan yang terimbas kadang-kadang membuat aku tersenyum kecil. Mana tidaknya peristiwa daripada tingkatan satu hingga tingkatan enam tiba-tiba terimbas di depan mata aku umpama layar filem yang menayangkan sebuah cerita nostalgia itu. Masih aku teringat bagaimana Pian mendapat gelaran teloqnya, bagaimana teloi mendapat nama gelarannya, bagaimana Kroll mendapat gelaran peningnya. Malah aku masih teringat bagaimana kami sekelas dihalau keluar oleh kelas Cikgu B.I. gara-gara lambat masuk kelas kerana kelasnya bermula selepas waktu PJ. Memang kegemaran kami hanya matapelajaran PJ sahaja ketika itu.Teringat sungguh dengan Jattradon yang dituduh hisap dadah oleh Pak Harun.

Aku masih teringat bagaimana Mizon ditampar dengan Cikgu Mat Desa di dewan sekolah ketika esok hendak menghadapi peperiksaan SRP gara-gara lambat dan bising ke dewan. Aku masih teringat bagaimana GPK 1 terpaksa mengejar kami daripada padang bola gara-gara bermain bola sewaktu kami menghadapi SRP. Aku masih ingat bagaimana aku bersama teman-teman di 'public canningkan' kerana menghisap rokok di asrama ketika itu dan aku sahaja ditampar 47 kali oleh Pak harun ketika itu.

Masih aku teringat kelas 5A2 antara kelas yang dibenci oleh guru-guru kerana kenakalan kami ketika itu dan kelas inilah yang mengharumkan nama sekolah dalam buidang ko kurikulum ketika itu. Mana tidaknya hampir semua pelajar kelas ini adalah kesebelasan utama pemain bola sepak, semua pemain sepak takraw di kelas ini termasuk aku sebagai kapten dan hampir semuanya pemain kriket daerah belum dikira sprinter dan ahli balapan yang lain. Semua pelajar kelas ini adalah anggota Kadet Polis Platun ke11 negeri kedah malah sarjan platunya dari kelas ini. Masih terngiang-ngiang suara Pak Harun yang menjadi pengetua ketika itu mengumumkan kami pelajar kelas 5A2 diberikan kelas tahanan daripada pukul 2 petang hingga 5.00 petang sepanjang tahun kerana takut kami akan 'melingkupkan' keputusan SPM tahun itu kerana sekolah kami antara top 10 di Malaysia. Masih aku teringat lagi bagaimana tangis guru-guru mengiringi keputusan kami yang rata-rata cemerlang ketika itu, tidak siapa yang sangka. Malah aku sendiri tidak sangka yang kami cemerlang dalam SPM.

Masih aku teringat bagaimana pihak sekolah cuba memisahkan kumpulan kami 5A2 semasa pendaftaran tingkatan enam rendah tetapi kami tetap bersatu dibawah naungan satu kelas. Dan aku masih ingat kami dipilih menjadi pengawas gara-gara kenakalan kami semasa tingakatan 5 dahulu. Dan kerana itu disiplin sekolah dalam keadaan terkawal kerana pelajar-pelajar lebih takutkan kami daripada cikgu disiplin kerana kekejaman kami kepada pesalah laku di sekolah. banyak sungguh kenangan itu.

teringin benar aku hendak bertemu dengan Ahmad Raduan (Teloi) selepas di ke UUM sehingga hari ini aku tidak bertemu, begitu juga Rahimi (The Walker), Safrol Hisyam (Sehat), Sarjan, Yamat, Amm penyu, Shidi Bambo, Zul Boga, Onn pendek, Pitt Burung, Mie Gila, Boss (anak gajah), Robot, Norman Bhazali, Jebo, Pian teloq, Art Victor, Rushdi tidoq, Man Monitor, Zamli mahang, Lias Kalut, Pon, Madi Rappers, Mat Kiaq Bikan, Kri Md Noq, Yen dan kawan-kawan perempuan Fadhilah Mat Sawai, Che Normi, Jenab entah terlalu ramai yang aku tidak mampu tulis.

Buat rakan-rakanku yang selalu jumpa di Kuala lumpur kita mesti teruskan silaturahim ini. 1989 ke 2009 sudah 20 tahun kita berkenalan.

Wednesday, September 17, 2008

Rindu

Syawal makin menghampiri dan pastinya tidak lama lagi aku pasti merinduimu Ramadhan!

Wednesday, September 10, 2008

Aku dan Komuter

Bulan Ramadhan Al-Mubarak sebenarnya banyak membawa godaan kepadaku terutama sekali mengenai kesabaran. Sejak harga minyak naik kenderaan utama aku untuk ke pejabat adalah komuter dan LRT. Kesabaran banyak teruji di sini. Seingat aku hampir setahun aku menggunakan pengangkutan awam.

Pengangkutan Awam...ermmm...bagi aku tak efisen di negara ini terutama komuter. Sudah banyak sekali pengalaman aku dengan kelewatan komuter ini. bila lewat maknanya komuter terpaksa mengangkut 'trip' yang tertinggal kerana kelewatan. Jadi boleh kita bayangkan tren yang penuh dengan umat manusia apatah lagi ketika waktu beban puncak ketika pagi untuk ke pejabat dan petang untuk balik ke rumah. Nasib baik aku pernah dan mempunyai pengalaman dengan bas mini wilayah suatu ketika dahulu. Aku tak dapat bayangkan manusia bersesak-sesak terutama kanak-kanak dan warga emas. Kasihan.

Komuter waktu perjalanan sekarang 20 minit sekali. Bayangkan kalau lewat sejam? Berapa banyak umat manusia yang tiba dan terpaksa mengangkut 3 'trip'? Kadan-kadang kalau difikirkan sudah menjadi perkara biasa untuk komuter tiba lewat. Kalau lewat seperti tiada tindakan kepada perkara yang melewatkan perjalanan komuter tersebut. Kalau rosak komuter kenapa tidak diganti dengan tren yang lain? Entah aku tidak pasti. Kalau di negara maju nescaya mereka yang bertanggungjawab kelewatan sesuatu perjalanan pengangkutan awam mungkin dipecat malah CEOnya akan bertanggungjawab kerana kejadian seperti itu. Entahlah aku makin tidak faham...

Alangkah baiknya sekiranya gerabak komuter itu ditambah dari 3 ke 5 dan perjalanannya selang 10 minit ketika beban puncak dan pada waktu bukan beban puncak kembali kepada 20 minit. Tambah-tambah ketika umat islam berduyun-duyun untuk pulang daripada pejabat untuk berbuka puasa bersama keluarga. Sekadar cadangan sahaja...