Friday, March 09, 2007

Warkah duka seorang perindu

Ketika aku di sekolah menengah pernah aku mengusik seorang pelajar perempuan yang aku cukup sakit hati dengan menghantar surat cinta kepadanya. Semasa itu aku tingkat 5 dan dia 6 rendah. Ketika dia dilantik menjadi pengawas selalu dia saman aku kerana datang lambat ke sekolah (sedangkan aku duduk di asrama). Kemuncaknya bila aku dipaksa oleh Cikgu Mat Besi (nama samaran) untuk berdiri sebatang kara di tengah padang bola sekolah dari awal pagi sampai loceng rehat dengan memegang sepanduk 'SAYA DATANG LEWAT KE SEKOLAH HARI INI'.

Perkara pertama yang aku lakukan. Aku tunggu dia balik sekolah sebab dia duduk asrama. Dengan berbekalkan kulit tembikai yang aku kutip didewan makan, seingat aku ada tiga ketul. Daripada tingkat tiga dengan megahnya aku lempar kepada dia. Kerana aku pemain kriket sekolah merangkap kapten daerah bawah 21 tahun, ketiga-tiga kulit tembikai tadi melekat di atas kepalanya. Aku dengan megahnya berdiri di koridor tingkat tiga itu menunjuk muka.

"Jaga hang!... aku repot kat warden!" Jerit dia tak puas hati. Tapi aku kagum kerana sedikit pun dia tidak menangis.

"Peduli apa aku repot la...aku tak takut pun..." Laungku Kembali. Natijahnya malam itu aku disebat dua rotan oleh Cikgu Ahmad Sulung.

"Kalau bukan hang pengawas asrama, bukan main bola dah lama aku buang asrama hang ni..." Aku ingat macam mana marahnya Cikgu Ahmad dekat aku. Cikgu Ahmad jurulatih bola sepak sekolah aku. Malam itu dia berleter dekat aku seingat aku hampir subuh aku menahan telinga. Seperti biasa zaman remaja, masuk telinga kiri keluar telinga kanan.

Selepas peristiwa itu aku makin menyampah dengan pelajar itu. Aku buat pakatan dengan rakan-rakan seperjuangan yang juga tidak berpaus hati dengannya. Keputusannya kami mengambil langkah untuk mempermainkan hatinya. Maka bermula episod meranapkan hati pelajar perempuan itu. Setiap minggu aku menghantar surat cinta kepadanya. Menggunakan nama samaran Iskandar. Sememangnya Iskandar tidak pernah wujud di sekolah. Kami berbalas-balas surat sehingga dia hampir untuk mengambil peperiksaan percubaan STPM. Ketika aku sedang menunggu keputusan SPM aku tetap melayangkan surat padanya melalui seorang junior aku. Kasihan itu ada bila daripada kawan-kawannya memberitahu yang pelajar perempuan itu mula angau sendirian. Puas rasanya hati ini dapat membalas dendam. Yang aku rasa amat aneh dia tidak pernah bertanya siapa itu 'Iskandar' dan tidak pernah untuk minta berjumpa. Seolah-olah dia terpukau dengan surat-surat cinta aku. Dia meluahkan segala perasaannya melalui surat cintanya. malah segala masalahnya dia luahkan juga. kadang-kadang terasa aku seperti seorang kaunselor. Selalunya suratnya akan ku bacakan di depan rakan-rakanku yang lain. Malah suratnya seperti penghibur kami setiap minggu. Kami akan ketawa berguling-guling bila menbaca suratnya.

Akhirnya kerana rasa belas aku akhiri episod 'cinta palsu' dengan menuduh dalam surat yang dia kononnya mempunyai hubungan dengan rakan lelaki sekelasnya. Dalam surat dia menafikan bersungguh-sungguh, dan dia mohon untuk berjumpa dengan 'Iskandar'. Rakan-rakannya memberitahu yang pelajar itu sudah mula murung dan diam. Takut juga aku. Tapi bila mengenangkan dia yang mencari masalah, aku teruskan niat membalas dendam aku. Rakan-rakanku di asrama perempuan memberitahu yang hampir dua bulan dia murung dan pelajarannya mula merosot. Misi aku berjaya. Dendam terbalas. Tetapi aku bersyukur kerana keputusan STPM dia berjaya. Mana tidaknya andai kata dia gagal dan menyalahkan 'Iskandar' tidakkah aku menanggung dosa. Dengar khabar sekarang sudah menjadi seorang guru di utara Malaysia. Dan dengar khabar pelajar perempuan itu sudah tahu aku yang mendajalkannya. Ini kerana semasa kursus KPLI seorang rakan kelas aku yang sekursus dengannya telah memecah Segala rahsia. Alhamdullilah. Terima kasih kerana memaafkanku.



Ini adalah surat terakhir yang aku tulis kepada pelajar perempuan itu. (Semua surat yang aku karang selalunya aku simpan dalam fail, bukan apa untuk buat rujukan.)

Assalamualaikum...

Pertama kalinya izin kan aku untuk berbicara denganmu biarpun sekadar secebis warkah buruk ini yang mungkin telah dikau lemparkan ke dalam tong sampah. Andainya dikau membaca warkah ini, percayalah bukan niatku untuk melukakan hatimu itu tetapi sekadar untuk bercerita bukan untuk menagih simpati. Aku tahu sudah tiada ruang untuk aku berdiri hatta sejengkal jari di ruang hatimu itu...

Aku mohon maaf kiranya warkah ini menganggu dirimu. Sebenarnya sudah puas aku cuba melupakan mu sayang... tapi ternyata kenangan indah bersamamu di alam mimpi-mimpiku masih tertancap kemas dibenak ini...

Sayang...

Pernah aku cuba membuang segalanya...tapi aku tidak berdaya persis menahan ombak yang sedang menggila menghempas pantai tak kala angin monsun beralih arah. Aku benar-benar tewas sayang. Bila aku merenung gelap malam pasti aku terkilan melihat bintang bersinar gembira menemami purnama, sedangkan aku masih tertunduk dan dikau sudah pergi jauh dari hati ku....


Sayang...

Hati ini masih bersinar seperti pelangi tak kala banjir sudah melanda di tanah gersang yang kering akibat kemarau tujuh keturunan. Biarpun aku tahu kau sudah milik orang lain.

Sayang...

Biarpun mencintaimu itu bagaikan menelan racun berbisa, biarpun mengasihimu seperti menikam sembilu di kalbu, biarpun menyayangimu umpama menelan hempedu...aku redha...kerana cinta ini tidak pernah padam biarpun dirimu milik insan lain...

Sayang...

Izinkan aku mencintaimu biarpun dirimu milik orang lain....kerana aku tidak lagi mampu memilikimu.




2 comments:

INDERA KENCANA said...

Fulamak, surat yang sebegini jiwang, engkau yang karang. Aduh..

Bahaya kau mainkan perasaan dia. Buatnya dia balas dendam kat engkau. Di bomoh-siam nya engkau atau di bomoh-orang asli nya engkau, naya je engkau.

Sang Perba said...

ekeke ala dia tak tahu..