Friday, April 27, 2007

Tok Su Bahagian I


Semasa aku di tingkatan enam rendah, aku cukup suka pergi ke pasar malam Kelang Lama. Setiap hari khamis petang aku dan Pian Teloq akan memanjat pagar untuk ke pasar malam. Bukan untuk membeli tetapi entah kenapa aku pun tidak tahu. Mungkin untuk menghilangkan kebosanan di asrama. Pasar malam ini jarak dari asrama aku tak sampai dua kilometer. Selalunya aku, Pian Teloq, Art Victor kadang-kadang Jebo akan pergi melepak di pasar malam itu dan selepas itu kami akan tertumpu di kedai permainan video games di pekan tersebut.

Pian Teloq? Art Victor? Jebo? Memang gelaran yang pelik. Art adalah sempena namanya Azhar dan Victor pula sempena rumahnya di Ladang Victoria, Padang Serai lalu kami singkatkan gelaran Victor. Sekarang Art Victor berkerja sebagai MA di sebuah hospital kerajaan di Kedah. Manakala Jebo pula kerana sebutan Sarajevonya berbunyi Sarajebo nama sebetulnya Azril. Dengar khabar Jebo berkerja di sebuah kilang terkenal di Bayan Lepas sebagai Pengurus Pentadbiran di sana. Pian Teloq pula mendapat gelaran kerana semasa tingkatan tiga sewaktu kelas sains. Dalam makmal sains sewaktu belajar bab pembiakan manusia, Cikgu Arfah bertanya kepada Pian, apakah nama untuk yang menghasilkan sperma bagi manusia. Pian yang ketika itu sibuk melukis motosikal Harley Davidson di sebelah aku terkejut kerana leka. Dia terpingga-pingga lantas bertanya aku apakah jawapannya memandangkan dia tidak mendengar soalan. Aku memberi jawapan sambil berbisik kepadanya telor.
Dia dengan tidak teragak-agak menjawap dengan kuat ” Teloq Cikgu...” Lantas berderai satu kelas ketawa dan sejak itu lekatlah Pian Teloq sampai hari ini. Nama sebenarnya Sufiyan. Dia sekarang berkerja sebagai juru ukur di sebuah syarikat di Pulau Pinang.

Pada suatu petang semasa aku dan Pian Teloq melepak di pasar malam tersebut. Tempat lepak kami selalu di gerai menjual apam balik. Sebab yang jual apam balik kawan aku. Aku kanl dia semasa kami sama-sama wakil bola sepak daerah, di daripada sekolah lain. Tiba-tiba muka Piaq Teloq pucat lesi, dia terus menarik tangan aku untuk segera beredar. Aku jadi panik takut-takut warden yang Pian Teloq nampak. Aku yang sedang menghisap rokok ketika itu kelam kabut membuang rokok itu. Takut kantoi dengan warden asrama.

”Kenapa Pian?” Tanya aku setelah jauh kami beredar dari gerai Mat tadi.

”Tak ada apa-apa...” Muka Pian Teloq masih pucat.

”Cikgu Mat Sulung lalu ke?” Aku masih tak puas hati.

”Bukan...ahhh..nanti aku ceritakan di asrama...” Aku terus hilang mood untuk melepak di pasar malam dan kami bergegas pulang.

Keesokkan hari baru dia mahu bercerita itupun setelah aku ugut untuk lemparkan dia di dalam kolam sebelah rumah warden. Kolam yang sungguh busuk baunya (tempat kami menghumban sesiapa yang menyambut hari lahir).

Pian teloq bercerita yang dia terserempak dengan Tok Su semasa di pasar malam. Aku hairan takkan kerana Tok Su pun dia nak takut. Lalu dia mula membuka lembaran sejarah Tok Su.

Katanya Tok Su ketika muda memang lawa. Seingat dia Tok Su nih dah berumur lebih daripada 90 tahun dan dia tidak pernah berkahwin. Aku mula faham mukadimah cerita Pian Teloq. Ini mesti cerita misteri. Dia menyambung lagi ceritanya.

Katanya ayah Tok Su ini membela hanturaya sebanyak 44 ekor! Ayahnya kata ketika remang remang senja ketika kilat sambung menyambung bila cahaya kilat memancar maka mereka yang lalu di tepi rumah Tok Su akan dapat melihat dan mengira bayang-bayang hanturaya tersebut. Ayahnya bercerita kepadanya kejadian ini terjadi sekitar tahun 60an. Ketika itu musim hujan. Maka gemparlah kampung itu bila mendapat tahu ayah Tok Su sakit tenat. Sudah dua bulan terlantar di atas katil. Maka emak Tok Su memanggil imam dan ketua kampung untuk membaca yasin. Siapa yang berani? Hanya lima orang yang berani ke rumah Tok Su. Tok Imam, Tok Siak, Tok Bilal, Ketua Kampung dan anak Tok Imam.

Ketika mereka sampai ke rumah tersebut, mereka lihat ayah Tok Su betul-betul nazak di kelilingi oleh anak beranak. Tok Su ada dua beradik sahaja, dia dan abangnya. Ketika itu ayah Tok Su memengang tangkal di tangannya. Bau sudah begitu busuk. Mereka yang datang sudah tahu yang ayah Tok Su sebenarnay telah meninggal dunia. Akhirnya kerana tak snggup melihat ayahnya menderita, Tok Su dengan rela hati mengambil tangkal tersebut. Dengan itu ayahnya terus menghembus nafas.

Hujan makin lebat. Hari kian gelap, mahu tak mahu. Mereka terpaksa berpakat untuk mengebumikan esok pagi. Maka bersepakat mereka untuk membacakan yasin sepanjang malam. Emak Tok Su, Tok Su dan abangnya menyediakan keperluan mereka berlima. Air Kopi dan sedikit biskut. Mereka meminta izin ke rumah abangnya yang terletak tidak jauh daripada rumah Tok Su dengan alasan ingin memberitahu orang kampung tentang kematian ayah Tok Su.

Menjejak sahaja dinihari mereka mula membuat undian untuk membaca yasin, mengikut cabutan Ketua Kampung akam membaca dulu diikuti Tok Imam dan lain-lain. Ini kerana mereka ingin tidur sekejap almaklum usia dan tua dan tak mampu untuk berjaga malam.

Maka bermulalah episod ngeri mereka malam itu.

(bersambung...)

6 comments:

Iman Mawaddah said...

Alamak suspen ni...cepatlah sambung

khairyn said...

sama rancak dengan indera nampaknya.

pandai mengolah cerita lepas tu siap buat sambungan lagi...

alahai. Cepatlah sambung

INDERA KENCANA said...

Apa dia..?
Apa dia sambungan dia...??

Sang Perba said...

coming soon...tgh kesibukan yang amat..

tegezoot said...

hantu raya selalu nampak macam tuannya.

tegezoot said...
This comment has been removed by the author.