Friday, February 02, 2007

Dia

Bila terbaca cerita tentang DV8 entah mengapa kenangan ngeri itu datang semula. Bagaimana hendak aku mulakan aku sendiri tidak tahu. Bermula kisahnya semasa aku di semester 4. Aku berkenalan dengan seorang pelajar perempuan dari School SS. Sekadar berkawan tanpa aku sedari yang dia menyimpan perasaan denganku. Hingga suatu hari dia mengajak aku keluar menonton wayang. Memang selalu juga aku keluar menonton wayang dengan dia. Tapi bersama-sama dengan kawan-kawan yang lain tidak pernah berdua dengan dia. Dia memang anak orang berada. Semasa di kampus lagi dia dibenarkan oleh keluarganya untuk membawa kereta. Dan secara kebetulan disebabkan dia melanggar aku di kompleks sukan membuatkan kami berkenalan.

Rupanya bukan ke panggung wayang tujuan kami. Dia membawa aku untuk makan malam di Muara, Klang. Agak jaggal bagiku kerana berdua sahaja ketika itu. Selepas habis makan dia mengajak aku menyusuri tembok batu yang menghalang ombak menghakis pantai sepanjang muara sungai. Akhirnya kami duduk berdua menghadap laut lepas Selat Melaka. Aku semakin kekok bila keadaan begitu apatah suasana yang hening dalam gelap malam yang cuma disinari cahaya bulan separa penuh betul-betul di ufuk barat. Apa yang aku boleh buat cuma ketika itu diam dan merenung bintang-bintang yang memagari bulan.

" Zam...Iza nak tanya sikit boleh?" Dia memecah kebuntuan. Aku masih merenung ruang angkasa yang begitu luas dan taksub dengan kejadiannya ciptaan Ilahi.

"Tanya la apa pun..cuma jangan tanya soalan final exam sudah..." Aku cuba beseloroh. Aku menoleh kepada dia yang berada betul-betul di sebelahku. Aku lihat wajahnya sebujur sirih dan rambut sekali sekala memagari wajah beningnya bila masa angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Aku akui dia memang cantik, cuma hati aku tidak terpaut kepadanya entah kenapa. Satu persoalan yang aku tidak dapat jawab.

"Zam... antara ombak dengan pantai siapa yang paling setia?'' Ah.. Kenapa itu soalanmu? Aku terkejut. Entah kenapa dengan dia malam itu aku kurang pasti.

"Iza macam mana?" Soalan itu aku kembalikan kepadanya. Dia menunduk melihat gigi air. Ada riak kecil bila ombak menghempas perlahan kerana air laut semakin surut.

"Ombak lebih setia pada pantai...Kerana ombak sentiasa memukulnya setiap waktu." Tegas sungguh jawapan dia.

"Bagi aku pula Iza... Yang paling setia ialah pantai... Kerana pantai rela menanti cinta ombak yang kadang kala pasang dan kadang kala surut...hinggakan pantai itu musnah bila ombak menggila tapi pantai tetap sabar dan setia menanti ombak tidak kira bilapun sampai dunia ini kiamat." Panjang lebar falsafah aku. Aku tahu dia bersetuju dengan aku.

"Zam... kalau Iza tanya lagi boleh tak?" Aku hanya mengangguk perlahan. Aku sebenarnya semakin pelik dengan situasi ini. Aku ingin segera mengakhiri suasana begini. Aku takut. Apatah lagi teruna dan dara berdua-dua sebegini.

"Selama ini Zam anggap perhubungan kita macam mana?" Jujur soalan itu. Aku terkedu. entah kenapa soalan itu macam satu hukuman kepada aku. Aku menarik nafas panjang dan kemudian mengeluh kecil. Macam mana aku hendak terangkan kepana dia?

"Iza... Bagi aku kita hanya kawan dan aku anggap kau sebagai sahabat karib..." Aku lihat ada air mata mengalir di pipi gebunya itu. Aku serba salah. Dia mengesat air matanya perlahan.

"Zam mari kita balik..." Ada getar disuaranya. Aku rasa bersalah yang amat kerana meluahkan hatiku sebenarnya. Sepanjang perjalanan pulang aku dan dia hanya diam seribu bahasa. Aku tahu dia kecewa, bukan aku tak sudi cuma hatiku bukan miliknya. Suasana menjadi lebih sayu bila tiba-tiba DJ radio memutarkan lagu Sampai Hati dendangan Kumpulan Spring dan aku rasa terpukul bila aku mendengar esakan dia. Malam itu memang aku tidal dapat lelapkan mata bila mengenangkan dia. Aku rasa sungguh kejam mematahkan hati dia.

sejak itu hubungan aku dengan dia makin renggang. Dia selalu melarikan diri daripada bersua dengan aku. Aku tahu dia marah dan kecewa. kalau aku jadi seperti dia, aku yakin perbuatanku serupa. Khabarnya selepas itu dia mula bertukar liar. Modesto, DV8 dan banyak kelab malam sudah menjadi teman melepas kesunyian dalam hidupnya. Kawannya ada berjumpa dengan aku dan meminta supaya aku menasihatinya agar dia kembali pangkal jalan.

Entah kenapa aku rasa amat berdosa...

2 comments:

INDERA KENCANA said...

Ooo.. dia langgar engkau dulu.. Patah riuk tak..??

Tengok, pukulan cinta Abang Jer kita... Merana sampai DV8 Minah tu..

Sang Perba said...

indera
tak patah riuk cuma melambung masuk parit sebelah court tenis...ekekeke...