Tuesday, December 05, 2006

Hikayat Cetera Pengilham Sunyi


Sudah puas gamaknya
jejari ini mengetuk
papan kekunci...

Sudah letih agaknya
mata ini mengadap
monitor ini...

Sudah penat rasanya
akal ini memerah ilham
mencari kesudahan sebuah cetera!

Ceteranya bermula...

Alkisah seorang putera raja
di sebuah negara di hujung dunia
hebat, tampan, bergaya seperti lazimnya dalam hikayat purbakala...

Keputeraannya berserta gegak gempita bertempik sang langit!
Hujan mencurah semahu-mahunya
membanjiri bumi yang telah kontang
sedekad lampau...
Bertiup angin taufan dari utara menghilir ke selatan...
Beserta 40 das tembakan meriam penuh istiadat raja-raja kayangan menyambut kelahirannya. (kononnya!)

Hidupnya ditatang seperti minyak penuh
dibelai dengan sejuta tangan
disuap dengan kelazatan seribu rasa
didodoi dengan seratus lagu-lagu indah
dipakai dengan berpuluh kelengkapan segak
diasuh dengan guru-guru hebat lagi ternama...

Diringkaskan cetera...

Putera itu sudah dewasa
ilmu penuh di dada
hidup penuh bahagia...

Suatu hari terasa kekosongan di jiwa
puas lenanya diganggu
puas nafasnya mendesih
puas akalnya mencari-cari jawapan
puas lidah meluahkan rasa
puas tabib dan nujum merafak sembah!
hinggakan sang raja dan permaisuri gundah
hinggakan seluruh rakyat gelisah.

Kenapa?
Hatinya berkata membisik kalbu...
Rupanya dia memerlukan cinta
untuk mengisi kekosongan di jiwa.

Bertekadlah dia mencari
dengan raungan inang
dengan rintihan bonda
dengan esakan rakyat
dengan keredhaan ayahanda

Bermula kembara sang putera
bertemankan seorang khadam setia...
Kampung ke kampung
desa ke desa
bukit ke bukit
pantai ke pantai
pulau ke pulau
lembah ke lembah
negeri ke negeri
merentas segenap penjur alam...

Tapi masih tidak ditemui
Mengapa?

Putera itu mulai kesunyian
putera itu mulai kesepian
putera itu mulai sendirian
putera itu mulai kekosongan
putera itu mulai kebinggungan

Kerana?
Kerana pengilhamnya (aku) sudah lupa akan sambunganya
kerana penulisnya (aku) sudah hilang cinta di hatinya
kerana cinta itu tidak pernah hadir dalam jiwa penceritanya (aku)...

Kawan, sahabat, teman
pohonku satu,
ehsankan ku dengan sebuah cerita indah
yang mampu ku lakarkan kembali
kegembiraaan putera itu...

Bersebabkan
aku sudah tidak mampu mengetuk
dengan jejari ini lagi
sudah letih mata ini
sudah penat akal ini
mencari sebuah riwayat
untuk menyambung kembali
cetera itu!

2 comments:

INDERA KENCANA said...

Ooo.. engkau dok D6..
Kalau tak ada ilham sebenarnya adalah lebih baik tdur sahaja. Ilham datangnya dari minda yang cergas. Minda yang letih tidak mungkin dapat melahirkan output...

Sang Perba said...

indera

ye D6 syurga donia (waktu aku dulu ler)... aku dah jumpa ilham dia cakap mak dia suruh pergi kedai