Friday, April 27, 2007

Tok Su Bahagian I


Semasa aku di tingkatan enam rendah, aku cukup suka pergi ke pasar malam Kelang Lama. Setiap hari khamis petang aku dan Pian Teloq akan memanjat pagar untuk ke pasar malam. Bukan untuk membeli tetapi entah kenapa aku pun tidak tahu. Mungkin untuk menghilangkan kebosanan di asrama. Pasar malam ini jarak dari asrama aku tak sampai dua kilometer. Selalunya aku, Pian Teloq, Art Victor kadang-kadang Jebo akan pergi melepak di pasar malam itu dan selepas itu kami akan tertumpu di kedai permainan video games di pekan tersebut.

Pian Teloq? Art Victor? Jebo? Memang gelaran yang pelik. Art adalah sempena namanya Azhar dan Victor pula sempena rumahnya di Ladang Victoria, Padang Serai lalu kami singkatkan gelaran Victor. Sekarang Art Victor berkerja sebagai MA di sebuah hospital kerajaan di Kedah. Manakala Jebo pula kerana sebutan Sarajevonya berbunyi Sarajebo nama sebetulnya Azril. Dengar khabar Jebo berkerja di sebuah kilang terkenal di Bayan Lepas sebagai Pengurus Pentadbiran di sana. Pian Teloq pula mendapat gelaran kerana semasa tingkatan tiga sewaktu kelas sains. Dalam makmal sains sewaktu belajar bab pembiakan manusia, Cikgu Arfah bertanya kepada Pian, apakah nama untuk yang menghasilkan sperma bagi manusia. Pian yang ketika itu sibuk melukis motosikal Harley Davidson di sebelah aku terkejut kerana leka. Dia terpingga-pingga lantas bertanya aku apakah jawapannya memandangkan dia tidak mendengar soalan. Aku memberi jawapan sambil berbisik kepadanya telor.
Dia dengan tidak teragak-agak menjawap dengan kuat ” Teloq Cikgu...” Lantas berderai satu kelas ketawa dan sejak itu lekatlah Pian Teloq sampai hari ini. Nama sebenarnya Sufiyan. Dia sekarang berkerja sebagai juru ukur di sebuah syarikat di Pulau Pinang.

Pada suatu petang semasa aku dan Pian Teloq melepak di pasar malam tersebut. Tempat lepak kami selalu di gerai menjual apam balik. Sebab yang jual apam balik kawan aku. Aku kanl dia semasa kami sama-sama wakil bola sepak daerah, di daripada sekolah lain. Tiba-tiba muka Piaq Teloq pucat lesi, dia terus menarik tangan aku untuk segera beredar. Aku jadi panik takut-takut warden yang Pian Teloq nampak. Aku yang sedang menghisap rokok ketika itu kelam kabut membuang rokok itu. Takut kantoi dengan warden asrama.

”Kenapa Pian?” Tanya aku setelah jauh kami beredar dari gerai Mat tadi.

”Tak ada apa-apa...” Muka Pian Teloq masih pucat.

”Cikgu Mat Sulung lalu ke?” Aku masih tak puas hati.

”Bukan...ahhh..nanti aku ceritakan di asrama...” Aku terus hilang mood untuk melepak di pasar malam dan kami bergegas pulang.

Keesokkan hari baru dia mahu bercerita itupun setelah aku ugut untuk lemparkan dia di dalam kolam sebelah rumah warden. Kolam yang sungguh busuk baunya (tempat kami menghumban sesiapa yang menyambut hari lahir).

Pian teloq bercerita yang dia terserempak dengan Tok Su semasa di pasar malam. Aku hairan takkan kerana Tok Su pun dia nak takut. Lalu dia mula membuka lembaran sejarah Tok Su.

Katanya Tok Su ketika muda memang lawa. Seingat dia Tok Su nih dah berumur lebih daripada 90 tahun dan dia tidak pernah berkahwin. Aku mula faham mukadimah cerita Pian Teloq. Ini mesti cerita misteri. Dia menyambung lagi ceritanya.

Katanya ayah Tok Su ini membela hanturaya sebanyak 44 ekor! Ayahnya kata ketika remang remang senja ketika kilat sambung menyambung bila cahaya kilat memancar maka mereka yang lalu di tepi rumah Tok Su akan dapat melihat dan mengira bayang-bayang hanturaya tersebut. Ayahnya bercerita kepadanya kejadian ini terjadi sekitar tahun 60an. Ketika itu musim hujan. Maka gemparlah kampung itu bila mendapat tahu ayah Tok Su sakit tenat. Sudah dua bulan terlantar di atas katil. Maka emak Tok Su memanggil imam dan ketua kampung untuk membaca yasin. Siapa yang berani? Hanya lima orang yang berani ke rumah Tok Su. Tok Imam, Tok Siak, Tok Bilal, Ketua Kampung dan anak Tok Imam.

Ketika mereka sampai ke rumah tersebut, mereka lihat ayah Tok Su betul-betul nazak di kelilingi oleh anak beranak. Tok Su ada dua beradik sahaja, dia dan abangnya. Ketika itu ayah Tok Su memengang tangkal di tangannya. Bau sudah begitu busuk. Mereka yang datang sudah tahu yang ayah Tok Su sebenarnay telah meninggal dunia. Akhirnya kerana tak snggup melihat ayahnya menderita, Tok Su dengan rela hati mengambil tangkal tersebut. Dengan itu ayahnya terus menghembus nafas.

Hujan makin lebat. Hari kian gelap, mahu tak mahu. Mereka terpaksa berpakat untuk mengebumikan esok pagi. Maka bersepakat mereka untuk membacakan yasin sepanjang malam. Emak Tok Su, Tok Su dan abangnya menyediakan keperluan mereka berlima. Air Kopi dan sedikit biskut. Mereka meminta izin ke rumah abangnya yang terletak tidak jauh daripada rumah Tok Su dengan alasan ingin memberitahu orang kampung tentang kematian ayah Tok Su.

Menjejak sahaja dinihari mereka mula membuat undian untuk membaca yasin, mengikut cabutan Ketua Kampung akam membaca dulu diikuti Tok Imam dan lain-lain. Ini kerana mereka ingin tidur sekejap almaklum usia dan tua dan tak mampu untuk berjaga malam.

Maka bermulalah episod ngeri mereka malam itu.

(bersambung...)

Friday, April 13, 2007

Tandas Perempuan Tingkat 13 Menara ITM


Bila membaca cerita Indera teringat aku satu kejadian di ITM. Ketika itu aku semester empat (part 4). Pada malam kejadian itu seingat aku yang terlibat aku, Gojem, Arol dan Pian sedang membasuh motosikal. Kerana aku menumpang Gojem dan Pian menumpang Arol ke School nak mahu tidak mahu terpaksa kami menolong Arol dan Gojem.

Selalunya kami membasuh motosikal di tingkat 13, tandas perempuan selepas kelas Asian Politik. Disebabkan sukar untuk membasuh motosikal di kolej kerana selalu dimarahi oleh RS. Mana tidaknya membasuh motor di dalam tandas. Lagipun selepas kelas malan di tingkat 13, tiada siapa yang akan berlegar di level tersebut. Ini memudahkan kami untuk membasuh motosikal (dah tidak ada orang yang marah).

Sehingga pada suatu malam, tak silap aku dalam pukul 12.30 pagi (kelas selalunya habis pukul 11.30 malam). Ketika itu aku sedang melepak ditepi pintu sambil menyedut rokok (cover line). Aku terdengar bunyi orang berjalan di tingkat 13.

”Jem... aku dengar bunyi orang la...” Aku menyapa Gojem yang tengah mengelap cermin sisi motornya.

”Iskh siapa pulak...kalau pak guard, diorang takkan naik waktu nih.” Gojem mula cuak. Selalunya pengawal keselamatan akan meronda sekitar 11.30 malam ketika habis kelas Asian Politik. Arol tidak puas hati. Dia mengajak aku untuk mengintai siapakah gerangan manusia yang berani naik ke tingkat 13 selain kami.

Perlahan-lahan pintu tandas kami buka. Dari lobi lif kami bergerak ke pejabat Dekan. Tiada tanda-tanda manusia yang lalu.

”Kau nih perasan la Zam, buat aku meremang je...” Marah Arol. Sumpah! Aku dengar tadi. Suasana di tingkat 13 memang gelap hanya lampu pejabat dekan dan lobi lif sahaja yang dibiarkan menyala. Memang menyeramkan suasana tersebut. Kami segera bergerak balik ke tandas.

”Siapa tadi?” Tanya Pian.

”Zam nih perasan kut...” Balas Arol. Gojem hanya mencangkung memerhatikan kami.

”Jom balik a...” Gojem mula merengkek. Aku tahu dia dah berapa selesa dan mungkin takut. ”Aku tak sedap hati a..” Sambungnya lagi. Tiba-tiba terdengar bunyi orang membuka pintu. Aku pasti bunyi itu dari pejabat Dekan. Semua kami memandang sesama sendiri. Kami bergegas ke pintu tandas. Terdengar bunyi derapan kasut orang sedang berjalan dan semakin kuat ke arah tandas.

”Aku dengar dulu tandas ini ada orang maaa...” Kepala Gojem aku ketuk.
”Mulut jangat celupar!” Bisik aku. Kami mendiamkan diri. Bunyi kasut itu semakin kuat ke pintu tandas. Aku meniarap memerhatikan dari celahan di bawah daun pintu. Satu kelibat bayangpun aku tak nampak. Bila aku bangun, aku perhatikan Gojem sudah pucat lesi. Ada percikan peluh dinginnya di dahi. Tiba-tiba bunyi itu berhenti betul-betul di pintu tandas. Bulu roma ku mula meremang. Aku tahu, kawan-kawan aku berdoa agar ’mahkluk’ itu tidak menerpa masuk ke dalam tandas.

Aku mencapai kayu mob yang ada di tepi pintu sebagai senjata terakhir. Gojem dan Arol mengeluarkan spana manakala Pian bergerak perlahan-lahan masuk ke dalam tandas dan mengunci pintu tandas daripada dalam. Ketika itu aku berdoa agar ’makhluk’ itu segera beredar daripada depan pintu tandas. Suasana menjadi betul-betul sunyi sepi, yang kedengaran oleh aku kumat-kamit mulut Gojem membaca entah serapah apapun aku tak tahu.

Entah macam mana bunyi tapak kasut tadi kedengaran mula beredar ke arah lain. Semacam lega perasaan aku.

”Ok kita keluar perlahan-lahan ke lif..” Bisik aku kepada mereka. Aku membuka pintu. Perlahan-lahan aku menjengok kepala keluar. Hendaknya tiadalah ’mahkluk’ itu. Doa aku termakbul. Apa lagi, dengan segala kudrat yang ada kami menolak motor dengan laju ke arah lif. Pesanan tadi sudah diabaikan. Harap-harap lif segera terbuka. Tiba-tiba bunyi derap kasut tadi berbunyi lagi. Alamak! Semacam berlari ke arah kami. Ting! Lif terbuka. Kami menolak motor dan menutup lif dengan segera. Mata aku pejamkan. Tak sanggup melihat ’makhluk’ itu. Bunyi itu semakin dekat. Aku semakin panik, namum mata aku tetap pejam. Ya Allah selamatkanlah hambaMu ini. Aku mula berdoa. Seraya pintu lif tertutup, aku terdengar satu pekikan yang mengerikan.

”Jangan lari!” Lantas mata aku terbuka. Bukankah itu suara Dekan?

Esoknya aku, Gojem, Pian dan Arol dipangil menghadap Dekan atas kesalahan membasuh motosikal di tingkat 13, Menara ITM. Rupanya Dekan datang untuk mengambil kertas kerja seminarnya yang tertinggal. Beliau juga merasakan apa yang kami rasa. Berderau darahnya bila dia mendengar bunyi air sangkanya melimpah di tandas perempuan tersebut. Bila beliau menghampiri tidak pula kedengaran bunyi air. Bila aku tanya kenapa tidak masuk ke dalam tandas.

”Gila! Awak ingat saya ni berani sangat ke?” Jawapnya sambil ketawa. Kami didenda oleh Dekan dengan membasuh keretanya selama sebulan. Selepas kejadian itu kami tidak membasuh motosikal di tingkat 13 lagi. Taubat dah......

Tuesday, April 03, 2007

Rahsia

(gambar ini tiada kena mengena dengan cerita!)
Rahsia? Siapa yang tidak pernah berahsia. Aku? Memang banyak rahsia yang aku simpan. Sejak dari sekolah menengah lagi banyak rahsia yang aku simpan dan sedikit demi sedikit terbongkar. Paling terbaru, rahsia aku dengan rakan-rakan memecah masuk ke bilik guru untuk mendapatkan soalan bocor ketika aku tingkata tiga dahulu. Memang kecoh ketika itu sampai pengetua membuat perangkap tetapi terkena kepada orang lain. Rupanya sahabat yang bersengkongkol dengan aku terbuka cerita dengan Cikgu Zaiton yang kini menjadi rakan sepeguruannya di sebuah sekolah sekitar Kulim, Kedah. Kecilkan dunia?

Cuma rahsia ini belum terbongkar. Hanya aku, Arol dengan Akeem sahaja yang tahu. Rahsia seorang yang bernama Chip! Bermula kisahnya disebuah rumah sewa di Shah Alam ketika aku masih bergelas seorang mahasiswa. Ketika itu aku menjalani sessi praktikal di sebuah syarikat penerbitan di Kuala Lumpur. Praktikal kami semasa semester kelima pengajian. Semasa menjalani praktikal kebanyakkan kami dibekalkan oleh tempat praktikal dengan telefon bimbit untuk memudahkan kerja kami. Enam bulan lamanya. Ketika itu sesiapa yang mempunyai telefon bimbit boleh dikatakan hebat. Almaklumlah telefon bimbit ketika itu barang mewah.

Pada petang ahad, Akeem telah pulang ke rumah sewa dennga bangganya dia menunjukkan telefon bimbit yang diberikan oleh tempat praktikal kepada aku.

”Zam, canggih tak tepon aku nih?” Dia kemudian duduk sebelah aku diruang tamu ketika aku tengah membaca komik Pedang Setiawan yang baru aku dapat rebut daripada Man BM (Bukit Mertajam). Rakan-rakan serumah lain sibuk dengan assingment masing-masing ada juga yang berdating.

”Waseh...sempoi beb!” Aku teruja melihat telefon model Motorola Flip terbaru itu (kalau sekarang malu aku nak pakai). Aku terus membelek.

”Kau ada no telefon Zara tak?” Tiba-tiba Akeem bertanya.

” Ada, kenapa?” Telefon tadi mula bertukat tangan kembali kepada tuannya.

”Aku ada hal dengan dia la....nak tanya pasal program hari keluarga school kita sem depan.” Ah lagak Presiden Kelab masih terbawa-bawa ngomel aku.

”Nah...” Aku memberikan nombor tersebut. Akeem terus mendail dan menghubungi Zara. Zara ialah rakan sekelas aku semasa di ITM. Aku dan dia jarang berkomunikasi, mungkin sebab aku yang terlalu ‘peramah’ dan amat nakal semasa di ITM.

”Hello... Assalamualaikum...Akeem nih...” Aku mendengar perbualannya.

”Hah? Tak percaya? Akeem ni...ok..ok..saya Chip...mana dapat nombor ni? Ala Zam yang bagi...tak percaya tanya Zam....Alamak dia off la pulak...” Akeem mengeluh.

”Oii...apsal kau tipu budak tu?” Aku tak faham.

”Dah aku cakap betul-betul dia main-main pulak...ambik ubat batuk!” Akeem tertawa besar. Tiba-tiba telefon bimbit aku berbunyi. Tertera nama ZARA di skrin.

”Hello?”

”Apsal kau bagi nombor aku dekat orang lain?” Aik marah pula minah ni, hati aku mula panas. Mana tidaknya salam tak beri, hello pun tidak ada. Akal aku mula berdetik untuk mengenakan minah ini.

”Ala sorry la...dia minta bersungguh-sunguh nak kenal dengan kau..” Aku mula berbohong. Akeem merah padam muka menahan ketawa.

”Macam mana dia kenal dengan aku, dia tu siapa?” Zara mula ingin tahu.

Aku mula membuat hikayat. Aku cerita daripada A hingga Z (semua itu tipu belaka). Chip ialah anak kepada majikan tempat aku praktikal (kiranya anak orang kaya ni). Umur tua tiga tahun. Kerja model sambilan (kira kacak la tu). Chip jatuh hati denga Zara bila melihat gambarnya dalam album gambar aku ketika itu kami bergambar ramai-ramai satu kelas semasa satu lawatan ke rumah anak yatim di Kuala Selangor.

Pelik tapi benar. Dia percaya. Dia termakan dengan cerita-cerita aku. Bermula saat itu. Akeem mendukong watak utama sebagai Chip. Aku pengarah dan penulis skrip serta watak pelakon pembantu manakala Arol penjaga kesinambungan cerita agar ia benar-benar tulen tidak nampak penipuan.

Kerana ingin sangat menipu kami terpaksa daftar satu talian untuk Akeem yang baru agar Zara tidak syak. Almaklumlah satu School. Hampir setahun projek ini berjalan sehingga pada malam MPG (Malam Pra Graduan) aku rasa sudah sampai waktunya untuk cerita ini ditamatkan. Aku rasa amat berdosa bila aku tahu, rupa-rupanya Zara benar-benar jatuh cinta. Zara selalu minta agar dapat bertemu dengan Chip. Tapi kami reka alasan untuk tidak berjumpa. Kadang-kadang kami biarkan dia menunggu ’Chip’ berjam-jam di komplek PKNS Shah Alam kemudian baru telefon tidak dapat datang kerana ada pengambar iklan di tempat tertentu. Memang kasihan. Tapi aku hormat dekat Zara. Aku rasa dia amat setia dan tidak pernah memarahi ’Chip’.

Kami akhir cerita dengan mengatakan ’Chip’ dipaksa menyambungkan pelajaran ke US oleh kedua orang tuanya. Dia akur kerana dia satu-satunya anak lelaki dalam keluarga dan bakal menerajui perniagaan keluarganya satu hari nanti.
Ayat terakhir yang aku karang dalam skrip ini rupanya menyentuh kalbu Zara.
Dengan suara Akeem yang memang merdu didengar (Akeem pernah berkerja sebagai DJ disebuah stesyen Radio terkenal di Malaysia).

” Zara percayalah perpisahan ini hanya sementara dan bukan berkahirnya perhubungan kita... tapi Chip percaya kiranya Zara bertemu insan yang lebih baik dari Chip, Chip redha dan Chip akan lebih bahagia kalau pilihan Zara itu nanti dapat membahagiakan Zara...” Aku dan Arol memang selalu berada dengan Akeem setiap panggilan yang Zara buat. Akeem beritahu pada perbualan terakhir ini terdengar esaakan dihujung talian.

Perancangan kami memang teliti. Sampai hari ini Zara masih tidak tahu yang ’Chip’ hanyalah satu watak rekaan yang tidak pernah wujud di alam nyata ini. Pernah juga aku cuba hendak memberitahu tentang penipuan ini, tapi aku takut. Sebab ini melibatkan hati dan perasaan. Sekarang Zara berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di sebuah syarikat mintak terkenal di dunia. Masih sendirian. Dari teman-teman yang lain dia masih keseorangan. Mungkin menanti ’Chip’ aku tidak tahu. Mungkin cintanya masih menebal dengan ’Chip’ aku tidak tahu. Cuma aku tahu rahsia ini masih tersimpan di dalam hati tiga manusia. Entah bila aku akan membuka rahsia ini. Aku sendiri tidak tahu. Kalau boelh biarlah keluar dari mulut kami bertiga.