Monday, November 27, 2006

Hujan Dipagi Ahad

Suasana: Seawal subuh pagi ahad. Keadaan yang cukup hening (mengantuk)


Jam berbunyi. Nyaring. Mata aku tercelik. Gelap!. Aku meraba-raba mencari jam. Sambil sebelah tangan menggaru kepala. Baru pukul 5.45 pagi. Mengantuk sangat. Aku lihat isteriku sedang memeluk anak. Ermmm... Dulu aku, sekarang anak aku pula tempat dia memeluk. Biarkan asal kasih sayangnya masih tertumpah penuh buatku. Jam sudah ku matikan bunyinya. Bukan apa takut anak aku terjaga susah. Payah sungguh aku hendak meninggalkan katil. Aku perlu segera. Aku capai tuala. lampu bilik air aku buka kerana tadi aku masih dalam kegelapan. Selesai mandi terus aku mengadapNya.

"Sayang... bangun sayang, subuh..." Bisikku perlahan takut puteraku terjaga tidur. Biarlah anakku tidur lena.

"Eh... dah pukul berapa?" Tanya manja. Aku tunjukkan jam. Isteriku terus bangun.

"Kena mandi tau... jangan lupa..." Aku ingatkan isteriku.

" Yang abang kacau semalam siapa suruh?" Marahnya manja. Aku ketawa. Terus aku ambil baju batik nampak gaya perlu digosok. Pukul 8.30 pagi Menteri nak melawat kawasan. Nak tak nak aku kena ikut sebab arahan bos aku.

"Aik dah sembahyang?" Tanya aku lagi. Cepatnya gumamku.

"Dah..." Ringkas jawapannya.

Jam menunjukkan pukul 6.30 pagi. Kenapalah hari Ahad nak melawat kawasan, hari kerja lain tak boleh? Hati aku berdesis. Marah. Hari jumaat baru sahaja berjanji hendak melawat MAHA kat Serdang. Tiba-tiba hujan turun dengan lebatnya. Ahhh! Persetan dengan menteri. Diakan ada pegawai khasnya. Jabatan aku tidak ada kena mengena dengan lawatannya. Bukankah ada pegawai lain yang akan ikut. Bukan aku seorang sahaja. Ligat akal mencari alasan. Ahh! Esok boleh aku fikirkan. Suis lampu aku tutup. Dari seluar aku tukar ke kain pelekat. Katil destinasi tujuanku.

"Eh... abang tak jadi pergi kerja ke?" Isteriku kehairanan bila aku kembali berbaring sebelahnya.

"Malas la sayang...lagipun sejuk...hujan." Jawabku sambil tersenyum memandangnya. Dan aku yakin selepas tidurku ini pasti aku kena mandi lagi sekali.

Friday, November 24, 2006

Hutang

Suasana: Di bilik mesyuarat yang semua ahlinya tengah bosan dengan presentation darpada bahagian yang cakap banyak kerja tak tahu buat.


Entah apa yang dibebelkan oleh pembentang aku tidak ambil peduli. Pergi mampus sama perbentangan engkau. Aku lihat seorang pegawai di sebelah aku sibuk melayan sms secara sembunyi-sembunyi. Kepada siapa aku tak tahu. Tapi kalau diikutkan pegawai ini ada sejarah isterinya datang menyerang di pejabat. Lantak engkaulah. Jangan itu menjadi alasan untuk tidak buat kerja sudah. Aku mula berfantansi kalau aku dapat RM 80 juta. Banyak perkara yang aku boleh aku buat. bayar semua hutang piutang aku.

"Zam mana report yang saya mintak dari bahagian kamu?" Aku terkejut. Tergamam, semua mata tertumpu pada aku. Lamunan tadi hilang entah ke mana.

"Errr...errr Y.Bhg. Dato', tak siap lagi sebab ingatkan Dato' nak report tuh sebelum post cabinet.." Jelas aku sambil memohon aku tidak dimarahinya. Sumpah! Memang aku ingat dia nak sebelum post cabinet.

" Kalau macam tu ... lusa saya nak report tu atas meja saya. Repot tu penting sebab saya nak tunjuk dekat menteri..." Fuh! Lega. Alamak! Nampak gayanya aku berhutang satu laporan dengan Ketua Pengarah aku.

p.s kalau banyak duit macam tuh leh kawen lagi satu...ekekeke

Thursday, November 23, 2006

Rumah Terbuka

Cerita 1

Suasana: Keriuhan umat manusia melahap jamuan open house di sebuah jabatan kerajaan pukul 10.30 pagi




Sedang aku melangut dan melanggu menunggu ketibaa VVIP untuk hadir di jamuan open house. Tiba-tiba sayup-sayup terdengar suara gemersik merdu menegurku.

" Eh... You tak pergi exam jabatan ker?" Aku berpusing menghadapnya sambil membetulkan samping soket yang mula melondeh sebab terlalu lama aku berdiri menunggu VVIP yang lambat sampai.

"Kau tak pergi ke?" Aku cuba berbasa basi. Sebenarnya malas aku nak layan minah ni. Sebabnya penat menunggu tambah lagi bosan yang amat. Siapalah yang gatal betul bagi idea suruh aku jadi penyambut tetamu. Seumur hidup aku inilah kali ketiga aku pakai baju melayu satu set lengkap. Sampai Isteri aku tertanya-tanya betul ke atau ada udang di sebalik mee?

"I tak apply lagi.. You pulak macam mana? Tak pergi....tapi hari ni nampak handsome sangat" Sambil tangannya cuba menyetuh butang baju melayu mungkin untuk membetulkan satu butang yang tadi aku tengok dekat cermin senget sikit. Tangannya aku tepis perlahan. Takut nanti lain jadinya.

"Aku dah ambil dah exam tuh..." Aku menjawab. Aku tengok jam. Iskh kenapa lambat betul nak sampai dekat dua jam aku terpacak dengan seorang staff menunggu ketibaan seorang VVIP.

"Bila you ambil?" Makin galak minah ini bertanya. Aku tenung wajahnya. Memang cantik persis Amy Mastura. Dengan suara gemersik seperti Aishah membuat sesiapa pasti terpikat. Aku? Cintaku tetap pada Dia dan isteriku. Buat masa ini masih tiada perasaanku untuk menambah bilangan kouta.

" Tahun depan" Ringkas jawapanku.

"Jahat you ni.." Balasnya sambil aku menepis jari-jarinya yang mecubit aku penuh manja sementara mata aku liar memerhati sekeliling bimbang ada orang cemburu!

ps. Paaah... Butang baju melayu aku mana Paaah....ekekeke



Cerita 2

Suasana: Masih lagi mood open house. Sebab tunggu VVIP tak sampai. Aku cabut melepak makan dengan geng-geng sekepala dengan aku.



Rokok aku sedut dalam-dalam. Mata tak lepas melihat pintu pagar takut-takut VVIP datang. Kamal dengan Ramli masih berbicara mengenai kereta masing-masing, langsung tidak ada mood raya. Manap pulak tengah sakan meratah kuah kacang sate yang tidak habis dalam pinggan kertasnya. Panas sungguh aku rasa. Satu panas hati sebab menunggu VVIP itu macam menunggu durian yang takan gugur. Keduanya cuaca panas walaupun sejak dua minggu yang lalu asal petang mesti hujan. Peluh ku sapu dengan kertas tisu yang aku ambil dari gerai nasi kandar yang terlibat dengan rumah terbuka.

"Bang rokok sebatang?" Tiba-tiba Jamal bersuara. " Aisehmen lama menung?" Tambahnya lagi sambil mengambil rokok dan menyalakan api. Asap rokok yang disedutnya dihembus perlahan-lahan.


" Kau tengok siapa tu?" Tanya Ramli yang ingin tahu. Cekap mata dia menangkap yang aku sedang memerhatikan minah tadi.

"Tuuu...." Panjang muncung aku ke arah minah tadi.

"Kau biar betul Zam, minah tu kan dah ada tunang..." Manap menegur. Aku lihat pinggan kertas tadi dia campakkan ke bawah meja. Cess.. Tidak tahu jaga kebersihan langsung. Harap pegawai kelas A. Gumam hatiku.

"Aku pelik la Manap... Mana aku ada dia mesti ikut..." Aku mula meluahkan perasaan ketidak puasan hati. Rokok ku padamkan dan ku biarkan di tangan kerana tong sampah jauh dari meja tempat duduk kami. Jamal dan Ramli memberikan reaksi.

"Dia minat dengan kau kut?" Ramli bersuara.

"Iskh... tak ingin aku...kan aku dah kahwin..." Nak mati kalau bini aku tahu.

"Kalau dia tu kereta jenis dengan model apa kau nak samakan?" Tanya Manap sambil tersenyum.

"Ermm... Wira 1.8...tahun 1996.." Jawap aku ringkas dan serius.

Tiba-tiba berderai ketawa tiga orang kawan aku.

"Tak leh buat full loan tuh.." Berdekah-dekah Manap ketawa.

"Mesti alligment lari.."Gelak Jamal.

Aku tergelak sama. Kenapa aku jawap macam itu. Aku fikir kalau orang lama tengok minah pasti penilaiannya sama.

p.s Orang rumah aku mentain beb... Honda Prelude baru ekekeke

Wednesday, November 22, 2006

Secebis Madah Untuk Berfikir

Kemenangan pertama dan paling baik adalah mengalahkan diri sendiri. Dikalahkan oleh diri sendiri adalah peristiwa yang memalukan dan hina dari segala-galanya.

plato

Monday, November 20, 2006

Hampir Hujung Tahun

Hujung tahun semakin hampir. Tahun baru (masehi) akan menjelang. Selalunya bahagian kewangan semakin sibuk mengaudit dan mengemas kini akaun jabatan. Bagaimana dengan kita? Selalunya kita asyik mengemas kini hal orang lain. Tapi pernahkah kita fikirkan sejauh mana kita mengemas kini hati dan akal kita?

Muhasabah. Satu perkataan yang mempunyai seribu makna. Hampir setahun berapa kali kita menitis air mata, memohon keampunan dariNya? Hampir setahun berlalu apakah terjaga orang tua kita kita di ceruk kampung? Hampir setahun berlalu, apakah sumbangan kita kepada Agama, Bangsa dan Negara? Ya hampir setahun...

Rupanya banyak yang aku ketinggalan, aku tahu masih ramai yang menagih janji daripada aku terutama Dia yang maha Agung!