Wednesday, November 05, 2008

Cerita


Pendaftaran kemasukan semester baru untuk pelajar ITM di Dewan Sri Budiman berjalan dengan lancar. Darimi baru selesai mendaftar semester baru dan inilah semester terakhirnya sebelum dia melangkan keluar dengan segulung ijazah. Dalam hiruk – pikuk dan kekalutan pelajar lain mendaftarkan diri, Darimi tercangak – cangak mencari Naim, teman baiknya. Tiba – tiba, Darimi merasakan tubuhnya hilang imbangan lalu jatuh tersungkur. Fail – fail untuk pendaftaran yang telah selesai tadi bertaburan di lantai. Suasana menjadi sepi. Semua mata memandang ke arah Darimi yang tersungkur itu. Darimi bingkas bangun sambil mengibas – gibas selaur jeans lusuhnya yang dibeli seingat dia setahun lalu di salah sebuah kedai pakaian terpakai di Shah Alam. Bibirnya terasa pedih dan perit. Darimi tahu yang bibirnya berdarah.

“Malaun mana yang langgar aku ni.” Marahnya mula berputik. Hatinya geram bercampur malu atas kejadian tadi. Darimi sedar pelajar-pelajar yang memerhati tadi sedang berbisik-bisik dan tersenyum kepadanya. Mana tidak, seorang senior jatuh tersungkur. Bukankah itu satu musibah besar baginya. Hatinya bertambah sakit bila mengenangkan Naim yang tidak muncul – muncul walaupun semalam beriya – iya berjanji di telepon untuk berjumpa di depan pintu Dewan yang tersergam dan menjadi kebanggaan pelajar ITM.

”Maaf bang...” Darimi menangkap satu suara yang gemersik dari arah belakangnya. Perempuan! Getus hatinya.

”Apa maaf-maaf? Mata letak di lutut gamaknya. Nasib baik aku hidup lagi.” Terhambur ngomel kecil dari mulut Darimi yang sakit hati sejak peristwa tadi.

”Sa...saya tak sengaja.” Ada kesalan dihujung suara gadis itu. Mungkin kesal dengan apa yang terjadi.

Darimi bingkas berpusing ke arah suara gadis tadi. Kelu lidahnya. ”Cantik!” Apa yang sepatut berkata – kata di hati terlepas oleh lidah kerana mata terpesona dan akal berhenti untuk berfikir bila menatap wajah gadis itu. Mata bening gadis itu memohon belas simpati dari Darimi.

”Hoi Darimi! Sinilah!” Jerit nyaring Naim dari anak tangga menuju ke foyer.
Darimi segera menoleh ke arah Naim yang memang dinanti selama ini. Dia melambai Naim agar segera kepadanya. Gadis itu cepat – cepat berlalu pergi bila melihat Darimi memanggil Naim. Risau, takut – takut dia akan dimarahi oleh Darimi di khalayak ramai. Darimi berpusing semula untuk menatap wajah ayu tadi. Hampa. Entah kenapa tiba – tiba dia terasa rindu untuk menatap wajah ayu itu semula, melihat mata bening gadis tadi. Pedih di bibir dan di hati tadi diganti dengan satu perasaan yang indah tidak dapat digambarkan oleh Darimi. Darimi mengeluh kecil. Kesal, yang pertamanya sebab marahkan gadis ayu tadi. Yang kedua kesal kerana dia tidak tahu bila akan bertemu dengan gadis itu semula.

tunggu kemunculan novel ini di pasaran..