Friday, January 18, 2008

Kalaulah Isteriku Tahu...

Agak lama juga aku tidak kemas kini blog ini. Satu alasan yang selalu aku berikan; kerana aku sibuk. Yang pertamanya dengan tugasan dan yang keduanya aku terlalu sibuk bercuti. Hampir sebulan cuti aku diluluskan. Tapi entah kenapa tiba-tiba aku teringat kisah ngeri sebelum aku bercuti.

Kejadian itu seminggu sebelum aku bercuti. Aku tidak nafikan, aku mempunyai ramai kenalan perempuan. Kenalan sekerja, tugas, kawan-kawan sekelas di ’U’ atau zaman sekolah. Isteri aku cukup memahami aku. Dia percaya dengan aku. Kerana selama ini aku tidak pernah menduakan dia. Cuma peristiwa itu membuatkan aku takut dan ngeri kalau isteri aku tahu.

Ratna Izzura. Gadis yang cukup cantik, masih belum berpunya, muda dan baru 5 tahun dalam perkhidmatan kerajaan. Berpangkat pegawai di sebuah Kementerian di Putrajaya. Aku mengenalinya ketika aku menghadiri satu mesyuarat di Putrajaya. Mungkin kerana program yang kami kendalikan, dia menjadi rapat dengan aku. Aku tidak pernah ambil pusing kerana aku tahu batas perhubungan kami. Malah aku anggap dia seperti adik sahaja. Bila ada mesyuarat di Putrajaya lazimnya aku akan bersamanya untuk makan tengah hari. Malah isteri aku tahu persahabatan kami.

Sehinggalah kejadian itu, semasa kami menghadiri kursus di sebuah hotel di Port Dickson. Setiap malam semasa kursus aku, dia dan rakan sekursus akan
keluar minum-minum di kedai makan, dan pada malam terakhir dia mengajak aku keluar bersamanya. Aku agak pelik kerana hanya aku dan dia sahaja. Mungkin kawan-kawan lain malas hendak keluar, fikir aku.

Kami kemudian menjamu selera di sebuah kedai makan ala petani di port Dickson. Selepas itu dia terus memandu menghala ke pantai Teluk Kemang. Sebenarnya aku menumpang kereta dia. Aku hairan kerana jam menunjukkan sudah pukul 1.30 pagi. Tidak mengantukkah dia? Aku mula merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Kereta diberhentikan betul-betul menghadap pantai dan suasana tempat letak kereta agak gelap.

” Kenapa kita ke sini Zura?” Aku bertanya. Yelah buat dicekup mampus aku.

” Zura nak bincang sikit dengan abang..” Waduh lembut sungguh suara dia. Aku mula tidak selesa.

“ Jom kita balik…karang buat kena cekup naya kita,,,” Aku mengajak dia balik.

” Ala kalau kena cukup pun best apa...tentu abang seronok...dapat kawin free..” Ada ketawa kecil diakhir ayat itu. Buang tebiat ke budak ni? Aku mula tidak keruan. Tiba-tiba dia memegang tanya aku. Aku terkejut! Terus aku tarik tangan aku. Dia juga aku lihat terkejut. ” Nape? Abang tak suka kat Zura ke?” Ada nada kesal kedengaran. Suka Zura? siapa tak suka Zura, Zura cantik, manis, anggun..Cuma dalam hati aku saja yang jawab. Aku diam. ” Selama ini, apa sebenarnya hubungan kita abang?” Tanya Zura pada aku untuk kepastian.

” Ermmm....” Lama juga aku terkedu. ” Abang anggap Zura macam adik abang..” Kadang-kadang rasa menyesal jugak aku jawab sebegitu.

” Tidak lebih dari itu?” Dia minta penjelasan. Aku hanya menganggukkan kepala sehaja. Ada keluhan yang kedengaran. ” Abang...sebenarnya Zura sudah lama menaruh hati dengan abang, sejak mula kita berkenalan lagi...” Aku agak terkejut mendengar pengakuannya. ” Zura tahu abang dah berpunya...tapi Zura tak kisah...kalau abang sudi, Zura boleh jadi yang kedua...Zura boleh jumpa kakak minta kebenaran...Zura tak kisah...biar apa orang kata...” Alamak! Kira bunuh diri kalau dia buat betul. Kali ini memang aku terdiam. Aiseh memang nahas aku. Sekali sekala aku memerhati sekeliling. Takut-takut diserbu pencegah maksiat, mati aku dan mana tahu dia sedang pasang perangkap hendak mengenakan aku.

” Zura...” Aku mulakan bicara. ” Apalah yang ada pada abang? Lagipun abang anggap Zura seperti adik abang sendiri...dan cinta ini hanya ada untuk isteri abang..” Pergh! Kalau isteri aku tahu mesti akulah penerima anugerah Suami Mithali peringkat kebangsaan tahun ini.

” Untung kakak dapat suami macam abang...kalaulah Zura kenal abang dulu sebelum dia...” Aku lihat ada titisan air mata dipipinya. Dia menghidupkan enjin kereta dan kami pulang ke hotel. Keesokkan harinya dia terus menghilangkan diri. Telefon bimbitnya ditutup. Aku tahu dia masih sedih. Sehinggalah aku masuk ke pejabat dan membaca emel yang dihantar kepada aku. Katanya dia sanggup tunggu hingga pintu hati aku terbuka untuknya.

Memang hampir seminggu aku tidak boleh tidur terbayangkan tawarannya itu. Cuma aku masih setia kepada kekasih hatiku dan hampir tiga jam malam itu memang terasa cukup panas dan ngeri untuk aku kenangkan. Bayangkan kalau entah syaitan mana rasuk aku malam itu dan aku setuju dengan lamarannya? Entah akupun tidak tahu. Kalaulah isteri aku tahu....