Wednesday, March 14, 2007

Kerja Berat

Ketika aku asyik menaip kertas kerja di komputer, tiba-tiba Nida kerani di pejabat aku mengetuk pintu bilik.

"Encik Zam...boss panggil." Katanya di depan pintu bilikku. Belum sempat aku bertanyakan tujuan dia. Daripada riak mukanya, aku dapat baca sesuatu yang tak kena.

"Boss mana? Dato" ke Tuan Haji?"

"Tuan Haji..." Laungnya daripada partisennya. Aku segera mencapai tali leher. Aku tahu Tuan Haji tak suka pegawainya tidak kemas. Tali leherku ikat kemas. seingat aku, tali leher ini hadiah hari jadi oleh isteriku ketika kami masih bertunang. Aku bingkas bangun. Buku nota ku capai dan bergerak ke bilik Tuan Haji. Otak ini ligat berfikir. Apa lagi yang hendak dibincangkan oleh ketua aku ini. Mungkin program di Labuan Ahad ini barangkali. Ataupun program di Bagan Datoh. Tiba-tiba aku teringat laporan aku kepada Menteri. Mungkin perkara ini yang hendak dibincangkannya.

Langkah kakiku cepatkan. Banyak kerja yang perlu diselesaikan hari ini. Program di Labuan memerlukan koordinasi yang kuat antara ibu pejabat dan pihak sana. Pegawai di sana telah aku hubungi. Kerja kerja perlu disemak. laporan perlu dibetulkan. Semua perlukan salinan. Aku berharap agar mesin pencetak tidak buat masalah lagi. Aku tidak gemar membawa balik kerja ke rumah. semua mesti diselesaikan di pejabat, biarpun lewat malam.

Pintu biliknya ku ketuk.

"Haa Zam... duduk..." Riak mukanya sedikit berkerut. Mungkin memikirkan sesuatu.

"Ye boss... ada apa nak jumpa saya?" Aku bertanya. Lagi cepat hal ini habis lagi bagus.

"Macam mana saya nak cerita yer..." Ada keluhan diakhir ayatnya. Aku mula rasakan sesuatu yang tidak kena.

"Kenapa boss?" Aku ingin tahu.

Dia mula bercerita. Kisahnya dua orang pegawai telah ditahan polis kerana disyaki mengedar dadah. Dia yakin mereka dianiaya. Berat sungguh. Aku terkedu. Macam mana boleh jadi percara ini?

"Zam... tolong settlekan masalah ni." Tuan haji merenung aku tepat. "Saya tanak perkara ni sampai ke KP, payah!" Aku tahu dia amat berharap. Aduh.

"Perkara macam ini kalau dah naik mahkamah payah boss." Aku memberi pendapat.

"Nak buat macam mana lagi... okey macam ni lah...kalau hang boleh settle dengan polis hang settle lah... kalau tidak ikut prosuder biasa..." panjang arahannya.

Balik bilik aku termenung. Macam mana nak selesaikan masalah ini. Jabatan boleh mendapat malu. Sedang aku berfikir telefon bimbit ku berbunyi. Di Skrin tertera nama KP.

"Hello Dato', ya...ya...saya dah maklum perkara itu...ok Dato' saya faham...ya..ya kita akan siasat perkara ini, saya akan minta pihak negeri hantar laporan detail dan salinan untuk Dato'...ok...waalaikumsalam." Aku letakkan telefon. KP dah tahu. Aku pasti KP dah telefon Tuan Haji. Ada nada tegas dari Dato'. Nampak gaya terpaksa aku mengikut prosuder yang ada. Kes ini akan dibicarakan.

Bertambah kerja aku lagi. Esok aku perlu membuat siasatan.

Tuesday, March 13, 2007

Di Taq oleh seseorang


Ini adalah destop kat opis aku. Kalau kat rumah lain pulak.

Sebagai meneruskan virus ini supaya merebak ke seluruh kotak-kotak..saya ingin sekali melihat desktop:
1) Khairyn - pencinta German Muslim Caucasian.

2) Indera Kencana - kumpulan tidak boleh makan ikan tapah.
3) Zwit - yang mencari keseimbangan.

4) Izinni - akak ikan keli pemantau keyboard terbakar.

5) 13 May - penyumbang terbesar asap naga.

6) Bayu Senja - yang sedang berusaha mendelete memori silam bersama si dia.

7) Hakim Dirani - sahabat Bayu Senja.

8) Achik - yang terhutang cheese cake dengan saya :)

9) Black Purple - jawo pinter yang menanti Rosnah Mat Aris menjawab tag peliknya.

10) Bunga Rampai - harumnya bisa mengertak bapak polisi.

11) Lindosh- yang runsing dengan permukaan bulan.

12) Purple Heart - moga diberikan ketenangan hati dan fikiran.

13) Hani Sumayyah - seorang ibu yang kuat semangat.

14) Inilah saya - seseorang yang baru menerima orang baru dalam keluarganya.

15) Jerangkung - tetamu baru Iman Mawaddah.


Aku telah ditag oleh Iman Mawaddah. Sebenarnya wall paper aku gambar lambang liverpool fc disebabkan nak up load kat sini biarlah aku tunjuk gambar anak aku.

Friday, March 09, 2007

Warkah duka seorang perindu

Ketika aku di sekolah menengah pernah aku mengusik seorang pelajar perempuan yang aku cukup sakit hati dengan menghantar surat cinta kepadanya. Semasa itu aku tingkat 5 dan dia 6 rendah. Ketika dia dilantik menjadi pengawas selalu dia saman aku kerana datang lambat ke sekolah (sedangkan aku duduk di asrama). Kemuncaknya bila aku dipaksa oleh Cikgu Mat Besi (nama samaran) untuk berdiri sebatang kara di tengah padang bola sekolah dari awal pagi sampai loceng rehat dengan memegang sepanduk 'SAYA DATANG LEWAT KE SEKOLAH HARI INI'.

Perkara pertama yang aku lakukan. Aku tunggu dia balik sekolah sebab dia duduk asrama. Dengan berbekalkan kulit tembikai yang aku kutip didewan makan, seingat aku ada tiga ketul. Daripada tingkat tiga dengan megahnya aku lempar kepada dia. Kerana aku pemain kriket sekolah merangkap kapten daerah bawah 21 tahun, ketiga-tiga kulit tembikai tadi melekat di atas kepalanya. Aku dengan megahnya berdiri di koridor tingkat tiga itu menunjuk muka.

"Jaga hang!... aku repot kat warden!" Jerit dia tak puas hati. Tapi aku kagum kerana sedikit pun dia tidak menangis.

"Peduli apa aku repot la...aku tak takut pun..." Laungku Kembali. Natijahnya malam itu aku disebat dua rotan oleh Cikgu Ahmad Sulung.

"Kalau bukan hang pengawas asrama, bukan main bola dah lama aku buang asrama hang ni..." Aku ingat macam mana marahnya Cikgu Ahmad dekat aku. Cikgu Ahmad jurulatih bola sepak sekolah aku. Malam itu dia berleter dekat aku seingat aku hampir subuh aku menahan telinga. Seperti biasa zaman remaja, masuk telinga kiri keluar telinga kanan.

Selepas peristiwa itu aku makin menyampah dengan pelajar itu. Aku buat pakatan dengan rakan-rakan seperjuangan yang juga tidak berpaus hati dengannya. Keputusannya kami mengambil langkah untuk mempermainkan hatinya. Maka bermula episod meranapkan hati pelajar perempuan itu. Setiap minggu aku menghantar surat cinta kepadanya. Menggunakan nama samaran Iskandar. Sememangnya Iskandar tidak pernah wujud di sekolah. Kami berbalas-balas surat sehingga dia hampir untuk mengambil peperiksaan percubaan STPM. Ketika aku sedang menunggu keputusan SPM aku tetap melayangkan surat padanya melalui seorang junior aku. Kasihan itu ada bila daripada kawan-kawannya memberitahu yang pelajar perempuan itu mula angau sendirian. Puas rasanya hati ini dapat membalas dendam. Yang aku rasa amat aneh dia tidak pernah bertanya siapa itu 'Iskandar' dan tidak pernah untuk minta berjumpa. Seolah-olah dia terpukau dengan surat-surat cinta aku. Dia meluahkan segala perasaannya melalui surat cintanya. malah segala masalahnya dia luahkan juga. kadang-kadang terasa aku seperti seorang kaunselor. Selalunya suratnya akan ku bacakan di depan rakan-rakanku yang lain. Malah suratnya seperti penghibur kami setiap minggu. Kami akan ketawa berguling-guling bila menbaca suratnya.

Akhirnya kerana rasa belas aku akhiri episod 'cinta palsu' dengan menuduh dalam surat yang dia kononnya mempunyai hubungan dengan rakan lelaki sekelasnya. Dalam surat dia menafikan bersungguh-sungguh, dan dia mohon untuk berjumpa dengan 'Iskandar'. Rakan-rakannya memberitahu yang pelajar itu sudah mula murung dan diam. Takut juga aku. Tapi bila mengenangkan dia yang mencari masalah, aku teruskan niat membalas dendam aku. Rakan-rakanku di asrama perempuan memberitahu yang hampir dua bulan dia murung dan pelajarannya mula merosot. Misi aku berjaya. Dendam terbalas. Tetapi aku bersyukur kerana keputusan STPM dia berjaya. Mana tidaknya andai kata dia gagal dan menyalahkan 'Iskandar' tidakkah aku menanggung dosa. Dengar khabar sekarang sudah menjadi seorang guru di utara Malaysia. Dan dengar khabar pelajar perempuan itu sudah tahu aku yang mendajalkannya. Ini kerana semasa kursus KPLI seorang rakan kelas aku yang sekursus dengannya telah memecah Segala rahsia. Alhamdullilah. Terima kasih kerana memaafkanku.



Ini adalah surat terakhir yang aku tulis kepada pelajar perempuan itu. (Semua surat yang aku karang selalunya aku simpan dalam fail, bukan apa untuk buat rujukan.)

Assalamualaikum...

Pertama kalinya izin kan aku untuk berbicara denganmu biarpun sekadar secebis warkah buruk ini yang mungkin telah dikau lemparkan ke dalam tong sampah. Andainya dikau membaca warkah ini, percayalah bukan niatku untuk melukakan hatimu itu tetapi sekadar untuk bercerita bukan untuk menagih simpati. Aku tahu sudah tiada ruang untuk aku berdiri hatta sejengkal jari di ruang hatimu itu...

Aku mohon maaf kiranya warkah ini menganggu dirimu. Sebenarnya sudah puas aku cuba melupakan mu sayang... tapi ternyata kenangan indah bersamamu di alam mimpi-mimpiku masih tertancap kemas dibenak ini...

Sayang...

Pernah aku cuba membuang segalanya...tapi aku tidak berdaya persis menahan ombak yang sedang menggila menghempas pantai tak kala angin monsun beralih arah. Aku benar-benar tewas sayang. Bila aku merenung gelap malam pasti aku terkilan melihat bintang bersinar gembira menemami purnama, sedangkan aku masih tertunduk dan dikau sudah pergi jauh dari hati ku....


Sayang...

Hati ini masih bersinar seperti pelangi tak kala banjir sudah melanda di tanah gersang yang kering akibat kemarau tujuh keturunan. Biarpun aku tahu kau sudah milik orang lain.

Sayang...

Biarpun mencintaimu itu bagaikan menelan racun berbisa, biarpun mengasihimu seperti menikam sembilu di kalbu, biarpun menyayangimu umpama menelan hempedu...aku redha...kerana cinta ini tidak pernah padam biarpun dirimu milik insan lain...

Sayang...

Izinkan aku mencintaimu biarpun dirimu milik orang lain....kerana aku tidak lagi mampu memilikimu.




Kronologi Hidup

Impian:
Setiap insan mempunyai impian.
Berusahalah untuk mencapai impian.
Tetapi kadang-kadang impian yang tidak kesampaian boleh menjadi mimpi buruk dalam hidup.

Cinta:
Cinta itu sesuatu yang indah, pelik dan tidak terungkap dengan kata-kata. Setiap insan ingin dicintai. Adakah kita kan bertemu dengan cinta sejati? Tetapi berhati-hatilah kerana cinta kadang-kadang boleh menjadi kejam dan amat menyakitkan.

Hidup:
Hidup ini satu perjuangan.
Berjuang untuk hidup.
Berjuang untuk sebuah kehidupan.
Berjuang untuk menentukan kehidupan.


Selamat hari wanita untuk semua wanita di muka bumi ini terutama untuk isteriku yang tercinta, ibuku yang tersayang, adik-adikku. Semoga kalian tetap menjadi muslimah yang soleh serta dibawah rahmatNya!

Khas buat mereka...


Selembut bayu pagi yang menghembus
sepoi-sepoi sepi menerjah wajah ini
lembut lagi wajahmu itu ketika merenungku!

Secantik sekuntum kelopak mawar merah
cantik lagi kelopak bibirmu yang senantiasa tersenyum mesra pada ku!

Seindah mentari sore terbenam di ufuk barat
indah lagi rambutmu yang mengurai disinari bulan purnama!

Seputih pantai yang menghadap setia lautan luas di sebuah pulau bahagia
putih lagi hati dan jiwamu!

Kalaulah kau bisa mengerti akan hati ini
kau pasti kan menangisi kerinduan
yang selama ini terpendam di lubuk jiwa.....


Kalaulah kau milik ku MUTLAK!

Monday, March 05, 2007

Pedulikan Mereka!

kata mereka;
hingus ku masih meleleh
belum kenal erti dewasa!

kata mereka;
kail panjang sejengkal
lautan dalam jangan di dalam
jangan diduga!

kata mereka;
umur ku baru setahun jagung
usah pandai berbicara!

kata mereka;
tubuhku masih merah
diam sahaja...

kata mereka;
mereka lebih awal
makan garam!

kataku;
pedulikan mereka
jika bertongkatkan
ilmu dan tuhan!
jika otak dan hati
bergerak harmoni!
pedulikan mereka!

Entahlah... bila mengenangkan cerita semalam, aku selalu tersenyum. Apatah lagi bila membaca rentetan hidup Indera semacam ada terpanggil tentang kenangan kenangan lalu. Bila aku terbaca sebuah novel mencerita kisah hidup di asrama aku menjadi rindu pada kenangan lalu. Yang pahit itu pengalaman dan yang indah itu kenangan!

Thursday, March 01, 2007

Sempena hari Tentera Darat. Aku ingin salut mereka. Kerana mereka tunjang negara.

Derap langkah itu bergema lagi,

Perjuangan yang tidak pernah selesai,

derap yang berpantang maut sebelum ajal.

Pada setiap keringat,

Pada setiap lelah,

Pada setiap darah tertumpah,

Derap langkahmu tetap ampuh

Mempertahankan nusa.

Andai setiap langkah mu,

Andai setiap hela nafas mu,

Andai setiap titis-titis air mata

Isteri, ibu dan anak- anak mu,

Aku pasti tidak berbayar

Dengan semua emas yang disatukan

Oleh anak bangsa ini.

Gagah setia menongkah setiap onar,

Taat setia menentang musuh negara,

Dengan laungan Gempu Wira!

Pengorbanan mu tidak akan ku lupakan.

Sebenarnya perjuanganmu,

Mengangkat maruah dan martabat bangsa ini.

Dan kerana itu derap langkah mu bagaikan

Lagu indah di bumi bertuah ini.