Friday, February 02, 2007

Dia II

Seingat aku pada petang rabu. Rose datang meluahkan peri laku Dia padaku. Dia sudah semakin liar. Rose ada memberitahu yang Dia amat sayang padaku.

"Zam engkau kena tolong Iza, dia dah jauh hanyut..." Rayu Rose padaku.

"Apa yang aku boleh buat Rose? Dia bukan nak jumpa aku lagi?" Aku sebenarnya cuba mengelak dari berjumpa dia.

"Zam..." Rose memandang aku tepat di mata. Suasana cafe semakin bising tiba-tiba aku rasakan sunyi. " Semuanya salah kau Zam. Iza jadi begitu sebab kau Zam!" Mudah sungguh Rose menghukum aku. Akhirnya aku mengalah.

Rose bercerita yang Dia berjinak-jinak dengan seorang anak tokoh perniagaan terkenal di KL. Pergerakkan Dia mula aku intip. Sehingga pada malam itu aku dapat tahu yang Dia akan ke DV8 dengan kenalan barunya. Aku dan rakan-rakan lain bertekad untuk menyedarkan Dia.

Aku, Joe, Ali dan Kupem mengekori kereta yang membawa dia dari seksyen 9 ke DV8. Setiba di DV8 menyirap darah aku bila pinggulnya dipeluk mesra oleh lelaki tadi.

"Itulah kau Zam kau tak sambar dulu kalu tidak..." Kupem cuba berseloroh.

"kalau tidak apa?"Jerkah aku. Kupem terdiam. Rokok yang ku hisap ku campakkan jauh ke longkang yang hanyir itu. Sehanyir makhluk di dalam DV8 itu. Aku dan rakan-rakan berganjak ke sebuah kedai makan di hujung blok tersebut. Jam sudah 3 pagi tapi kelibat dia masih belum ku nampak. bunyi muzik berdentum dentam memekakkan telinga. Bingit. Aku tidak tahu macam gamaknya orang di dalam dengan kebingitan bunyi tersebut. Tiba-tiba kelibat yang ku tunggu muncul. Masya -Allah. Dia mabuk!. Dia dan lelaki itu masuk ke dalam kereta yang diletakkan tidak jauh dari DV8 itu. Aku meluru ke kereta itu. Sekali lagi aku terkejut bila melihat aksi di dalam kereta itu. Dia sedang meronta-ronta dan iblis itu sedang mengomolinya dengan rakus!.

Entah di mana datangnya kekuatan. Aku membuka kereta. Aku tarik iblis itu keluar dan mencampaknya ke lantai jalan. Dia terkejut. Aku suruh dia betulkan baju. Iblis tadi rupanya tidak berdiam diri. Entah bila dia bangun dan memberi satu tumbukan di kepalaku aku tidak pasti. Aku terhenyak ke jalan. Kepala terasa berat dan dunia seolah-olah berpusing. Rupa-rupanya kawan-kawan iblis itu telah datang menolongnya. Nasib baik Joe, Ali dan Kupem datang membantu. Maka satu perkelahian terjadi di situ. Empat lawan tujuh orang.

Aku tidak tahu apa yang jadi selepas itu. Kata Ali, aku mengamuk sakan. Takut Ali tengok aku berlawan. Ganas! Cuma ralatku satu. Kupem menerima 14 jahitan di kepala. Ali dan Joe sekadar lebam-lebam. Aku mendapat tujuh jahitan di kepala. Bukan penumbuk yang singgah di kepalaku tapi sebatang besi. Joe kata aku belasah dua orang sampai yang lain lari ketakutan. Aku dan Kupem di bawa ke wad kecemasan oleh Joe. Dia pun ikut sama. Kami buat laporan polis selepas itu. Dan kerana kecederaan itu menutup ruang aku ke Thailand mewakili Malaysia untuk kejohanan Universiti ASEAN.

Aku tidak menyesal. Kerana maruah Dia dapat ku pertahanan. Dia ada datang melawat aku di hospital. Mengucapkan terima kasih dan aku tahu dia cukup menyesal. Aku tahu dai akan berubah menjadi seorang perempuan seperti dulu. Dua bulan kemudian Dia datang berjumpa aku. Ada hadiah dibawa. Dia beritahu yang Dia akan ke UK kerana peristiwa yang berlaku di DV8 itu menyedarkan dia. lagipun kakaknya ada di sana. Aku hanya diam seribu bahasa.

Bila di bilik aku membuka hadiah itu. Sebuah Novel karya HAMKA; Di Bawah Lindungan Kaabah, dan sekeping kad tertulis, Biar apapun terjadi dirimu tetap di hatiku...Iza tahu hati Zam masih tertutup, tapi percayalah Iza sanggup menunggu biar seribu tahun lagi...Iza tahu Zam suka baca Novel dan Iza berharap Zam suka dengan novel itu... Salam sayang...

Dia masih di UK. Khabarnya menyambung Ph.D dan bekerja di sana. Ada juga sahabat aku yang berjumpa dengan Dia di UK. Bila ditanya bila akan balik ke Malaysia jawapannya bila cinta sudah ditemui di Kota London ini baru Dia pulang. Tapi semua kawan-kawan aku tahu yang Dia masih menunggu cinta daripada aku. Kalau aku ada jodoh dengan Dia, aku redha dan buat masa ini cintaku tulus untuk isteriku tercinta dan aku berdoa agar cintaku pada isteriku hingga ke syurga.

Iza maaf hati ini tidak mampu melahirkan cinta padamu....

p/s kalau Iza terbaca cerita ini ku pohon sejuta kemaafan, cuma ingin aku katakan cinta itu anugerah ilahi.

Dia

Bila terbaca cerita tentang DV8 entah mengapa kenangan ngeri itu datang semula. Bagaimana hendak aku mulakan aku sendiri tidak tahu. Bermula kisahnya semasa aku di semester 4. Aku berkenalan dengan seorang pelajar perempuan dari School SS. Sekadar berkawan tanpa aku sedari yang dia menyimpan perasaan denganku. Hingga suatu hari dia mengajak aku keluar menonton wayang. Memang selalu juga aku keluar menonton wayang dengan dia. Tapi bersama-sama dengan kawan-kawan yang lain tidak pernah berdua dengan dia. Dia memang anak orang berada. Semasa di kampus lagi dia dibenarkan oleh keluarganya untuk membawa kereta. Dan secara kebetulan disebabkan dia melanggar aku di kompleks sukan membuatkan kami berkenalan.

Rupanya bukan ke panggung wayang tujuan kami. Dia membawa aku untuk makan malam di Muara, Klang. Agak jaggal bagiku kerana berdua sahaja ketika itu. Selepas habis makan dia mengajak aku menyusuri tembok batu yang menghalang ombak menghakis pantai sepanjang muara sungai. Akhirnya kami duduk berdua menghadap laut lepas Selat Melaka. Aku semakin kekok bila keadaan begitu apatah suasana yang hening dalam gelap malam yang cuma disinari cahaya bulan separa penuh betul-betul di ufuk barat. Apa yang aku boleh buat cuma ketika itu diam dan merenung bintang-bintang yang memagari bulan.

" Zam...Iza nak tanya sikit boleh?" Dia memecah kebuntuan. Aku masih merenung ruang angkasa yang begitu luas dan taksub dengan kejadiannya ciptaan Ilahi.

"Tanya la apa pun..cuma jangan tanya soalan final exam sudah..." Aku cuba beseloroh. Aku menoleh kepada dia yang berada betul-betul di sebelahku. Aku lihat wajahnya sebujur sirih dan rambut sekali sekala memagari wajah beningnya bila masa angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Aku akui dia memang cantik, cuma hati aku tidak terpaut kepadanya entah kenapa. Satu persoalan yang aku tidak dapat jawab.

"Zam... antara ombak dengan pantai siapa yang paling setia?'' Ah.. Kenapa itu soalanmu? Aku terkejut. Entah kenapa dengan dia malam itu aku kurang pasti.

"Iza macam mana?" Soalan itu aku kembalikan kepadanya. Dia menunduk melihat gigi air. Ada riak kecil bila ombak menghempas perlahan kerana air laut semakin surut.

"Ombak lebih setia pada pantai...Kerana ombak sentiasa memukulnya setiap waktu." Tegas sungguh jawapan dia.

"Bagi aku pula Iza... Yang paling setia ialah pantai... Kerana pantai rela menanti cinta ombak yang kadang kala pasang dan kadang kala surut...hinggakan pantai itu musnah bila ombak menggila tapi pantai tetap sabar dan setia menanti ombak tidak kira bilapun sampai dunia ini kiamat." Panjang lebar falsafah aku. Aku tahu dia bersetuju dengan aku.

"Zam... kalau Iza tanya lagi boleh tak?" Aku hanya mengangguk perlahan. Aku sebenarnya semakin pelik dengan situasi ini. Aku ingin segera mengakhiri suasana begini. Aku takut. Apatah lagi teruna dan dara berdua-dua sebegini.

"Selama ini Zam anggap perhubungan kita macam mana?" Jujur soalan itu. Aku terkedu. entah kenapa soalan itu macam satu hukuman kepada aku. Aku menarik nafas panjang dan kemudian mengeluh kecil. Macam mana aku hendak terangkan kepana dia?

"Iza... Bagi aku kita hanya kawan dan aku anggap kau sebagai sahabat karib..." Aku lihat ada air mata mengalir di pipi gebunya itu. Aku serba salah. Dia mengesat air matanya perlahan.

"Zam mari kita balik..." Ada getar disuaranya. Aku rasa bersalah yang amat kerana meluahkan hatiku sebenarnya. Sepanjang perjalanan pulang aku dan dia hanya diam seribu bahasa. Aku tahu dia kecewa, bukan aku tak sudi cuma hatiku bukan miliknya. Suasana menjadi lebih sayu bila tiba-tiba DJ radio memutarkan lagu Sampai Hati dendangan Kumpulan Spring dan aku rasa terpukul bila aku mendengar esakan dia. Malam itu memang aku tidal dapat lelapkan mata bila mengenangkan dia. Aku rasa sungguh kejam mematahkan hati dia.

sejak itu hubungan aku dengan dia makin renggang. Dia selalu melarikan diri daripada bersua dengan aku. Aku tahu dia marah dan kecewa. kalau aku jadi seperti dia, aku yakin perbuatanku serupa. Khabarnya selepas itu dia mula bertukar liar. Modesto, DV8 dan banyak kelab malam sudah menjadi teman melepas kesunyian dalam hidupnya. Kawannya ada berjumpa dengan aku dan meminta supaya aku menasihatinya agar dia kembali pangkal jalan.

Entah kenapa aku rasa amat berdosa...

Seorang Perindu

"Selamat ulang tahun bang..." Lembut sungguh suara isteriku menyedarkan aku daripada lena.

"Terima kasih..." Aku bingkas bangun. PerintahNya segera ku penuhi.

Melewati usia begini ternyata aku semakin sentitif. Entah? mungkin makin matang. Mataku semakin peka dengan sekitar. Hati makin mudah tersentuh. Aku semakin tua gamaknya. Seharian Ahad aku tidak ke mana, hanya di rumah. Anak dan isteriku ke rumah adik iparku. Aku termenung dan entah kenapa aku rindu pada teman-temanku semasa di sekolah dan ITM. Di mana agaknya mereka?

Tiba-tiba terlintas di fikiranku bayangan tempat-tempat yang pernah aku lewati semasa menjadi pelajar ITM. Dewan Seri Budiman, Menara, Kolej Delima, Perindu, KSPU, CK, Seroja, Seksyen 2 dan banyak lagi tempat.

Entah mengapa hari itu aku menjadi seorang perindu.