Monday, August 21, 2006

Akan Ku Lakukan Kawan




Subur sungguh rumput dan lalang dendam
yang engkau baja dengan darah
yang engkau siram dengan air mata
yang engkau racun dengan tangisan pilu

Gelora sungguh lautan hatimu
yang ributnya menghempas semua nilai nilai kemanusiaan
yang taufannya menidakkan naluri
yang ombaknya menafikan sejuta kasih sayang

Wangi sungguh tingkahmu
yang semerbak penuh dengki
yang seharum penuh khianat
yang setangginya penuh tomahan

hatimu keras kawan
dendammu membara kawan
kesumatmu penuh dengan noda kufur
dan sendat dengan kekhilaffan

Biar aku cucuh unggun api
pada dendammu
biar membakar jiwa raga mu
lantas engkau mengelupur kepanasan....

Biarku hanyutkan sabutpada geloramu
biar ia teroleng-oleng memperbudakkanmu
lantas engkau tahu diperbodohlan...

Biarku palit najispada tingkahmu
biarkan ia busuk
lantas manusia lain tidak mampu menghampirimu...
akan ku lalukan
demi sebuah persahabatan!

11 Disember 2001
Balok, Kuantan

Wednesday, August 16, 2006

Tanah Bertuah




Bulan semakin gerhana,
Mentari bertambah merah,
Lautan semakin berkelodak,
Sungai berolek-olek keruh,
Tanah sekian tahun menderita,
Awan pekat hitam,
Angin mula membisu seribu kata,
Hujan sudah malu menjamah bumi,
Hutan mula hilang rimbunan indah,
Pantai sudah terlalu sepi,
Cuma yang masih bertiup
semangatku yang menghirup udara MERDEKA
di tanah bertuah ini.....

Kuantan 2002

Monday, August 14, 2006

Menjelang Hari Kemerdekaan

Benarkah rakyat negara kita ini tidak patriotik? Entahlah... Aku tidak pernah membuat sebarang kajian berkenaan perkara ini. Cuma dari mata melihat dan telinga mendengar. Bila menjelang hari kemerdekaan (31 Ogos bagi yang tak tahu) baru aku lihat Jalur Gemilang dikibarkan.

Bercerita mengenai Jalur Gemilang. Banyak premis yang aku lihat mengibarkan Jalur Gemilang, tetapi yang cukup membuatkan aku naik darah bila Jalur Gemilang yang dikibarkan itu persis yang bendera kalah perang. Koyak, pudar seolah-olah negara empunya bendera itu tiada maruah! Tidakkah mereka tahu bahawa bendera itu maruah negara?

Aku harap pada tanggal 31 Ogos 2006 tidak akan ada lagi manusia-manusia bodoh yang lupa akan negaranya sudah 49 tahun merdeka!

(Tiba-tiba teringat semasa pasukan Malaysia menentang M.U ketika dulu, banyak pakai baju merah dari baju kuning!)

Thursday, August 10, 2006

Kalau dulu

Sudah lama aku tidak berkarya. Aku amat meminati bidang penulisan. Dari sekolah aku minat untuk menulis puisi. Meluahkan segala yang terbuku di dada dengan puisi, biar kadang-kadang orang tidak faham dengan karya aku ketika itu, janji aku puas. Mungkin sekarang aku semakin sibuk dengan tugas-tugas aku sehingga otak ini makin berkarat untuk menulis. kalau dahulu selalu juga aku berkarya dalam melayu.com, tetapi kini semakin karat otak ingin mencerna bait-bait untuk aku gambarkan apa yang terbuku di hati ini.



Aku juga sekarang semakin kurang membaca. Kalau dulu setiap gaji pasti ada buku yang aku borong (kadang-kadang sampai separuh gaji) tapi kini bila sebuah buku yang aku beli masih belum habis dibaca. kalau dulu, ketika masa terluang pasti dua buah buku selesai aku baca. Entahlah... mungkin kesibukan yang amat ini membataskan ruang dan waktu aku untuk membaca. Isyaallah, aku akan cuba untuk mencernakan kembali agar dapat aku menulis setidak-tidaknya satu puisi sehari dan membaca sekurang-kurang dua buah buku seminggu. Ini janji aku.